Thursday, June 2, 2011

Penduduk Islam Kemboja perlukan bantuan umat Islam Malaysia




Kanak-kanak Islam komboja ini amat memerlukan bantuan daripada semua masyarakat terutama umat Islam di Malaysia.


KAMPONG CHAM, KEMBOJA 1 Jun - Penduduk Islam Kemboja amat memerlukan pembabitan lebih banyak organisasi serta rakyat Malaysia untuk membantu mereka dalam bidang pendidikan Islam memandangkan hampir sebahagian besar penduduk Islam negara itu hidup dalam kemiskinan.
Timbalan Mufti Kemboja, Yusuf Said berkata, meskipun kini rakyat Malaysia paling ramai yang menghulurkan bantuan kepada mereka dalam membangunkan Islam di Kemboja, ia masih belum mencukupi.
Misalnya, beliau berkata, setiap tahun pihak Mufti Kemboja akan mengeluarkan 200 pelajar yang lulus dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) mengikut acuan sukatan Yayasan Kelantan, bagaimanapun hanya 10 hingga 15 pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya,
''Di Kemboja selepas lulus SMU, pelajar-pelajar kita akan melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Namun, disebabkan kami kekurangan sumber kewangan jumlah yang dapat kita hantar melanjutkan pelajaran amat sedikit.
''Buat masa ini, kita berjaya menghantar antara 10 hingga 15 pelajar dan kesemua mereka ditaja oleh penaja kita di Malaysia. Jumlah ini masih sedikit dan saya amat berharap ini boleh dipertingkatkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan oleh pihak Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) serta persembahan kebudayaan di Kampung Jumnik, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Gabenor Wilayah Kampong Cham, Sobri Kassim, Imam Masjid Jamek Musharraf, Abdul Kadir Ahmad dan Pengarah JWJ2, Rais Muhammad Mohd. Rais.
Dalam program hari ini, JWJ2 turut menyumbang bantuan makanan dan fidyah berjumlah RM8,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain mengadakan persembahan kebudayaan untuk masyarakat tempatan.
Yusuf berkata, hampir sebahagian besar penduduk Islam di Kemboja yang berjumlah satu juta hidup dalam kemiskinan dan mahu tidak mahu mereka amat memerlukan bantuan pihak lain.
''Saya tidak nafikan orang Islam di Malaysia banyak membantu kami dari segi membina madrasah, menaja penghantaran pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran ke Mesir atau Malaysia," katanya.
Abdul Kadir berkata, antara sumbangan rakyat Malaysia dalam membangunkan Islam di Kemboja adalah sumbangan dalam bentuk kos operasi madrasah-madrasah di negara berkenaan.
Sementara itu, ekspedisi JWJ2 akan meneruskan perjalanan ke Phnom Penh. Setakat ini perjalanan ekspedisi hampir 3,000 kilometer dan dijangka masuk ke Vietnam petang esok.
Program selama 25 hari itu dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi ekspedisi tersebut.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment