Monday, June 27, 2011

Kawal elak salah guna

KUALA LUMPUR: Hanya RM10 hingga RM20, orang ramai boleh membeli bahan pencuci marmar atau asid penghakis untuk pelbagai tujuan termasuk kegiatan jenayah dan mampu mencederakan orang ramai.

Lebih bahaya, botol pencuci itu tidak mempunyai senarai bahan kimia digunakan dalam larutan itu serta tiada label syarikat bertanggungjawab mengeluarkan bahan itu.


Tinjauan Harian Metro ke beberapa kedai barang binaan di sekitar bandar raya mendapati hampir semua kedai terbabit menjual produk asid sama iaitu tiada label kelulusan daripada pihak berkuasa.

Selain itu, kedai terbabit tidak mengehadkan penjualan bahan itu kepada syarikat pembinaan saja malah mereka menjual kepada sesiapa saja meminta tanpa sebarang sekatan atau langkah berjaga-jaga dan dikhuatiri digunakan penjenayah untuk niat jahat.


Menurut kontraktor hanya mahu dikenali sebagai Chan, 50, bahan itu sebenarnya digunakan untuk mencuci marmar daripada kekotoran simen selepas semua kerja pembinaan siap dan bahan itu paling murah dan mudah didapati di kebanyakan kedai.


Katanya, dia turut menggunakan bahan itu untuk mencuci marmar tetapi selepas mengetahui keburukannya dia menggantikan bahan itu dan tidak menggunakannya lagi tambahan pula ia tidak mempunyai sebarang label.

“Saya akui bahan pencuci itu paling bagus digunakan kerana semua kekotoran dapat hilang dalam tempoh seminit berbanding pencuci lain memakan masa agak panjang tetapi ia lebih berbahaya.

“Apa yang menjadi persoalan saya, bagaimana kedai terbabit menjual bahan itu sedangkan ia tidak mempunyai sebarang label dan syarikat mengeluarkan produk itu yang boleh memberi kesan serta-merta terhadap kulit manusia,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, satu peraturan khusus perlu diwujudkan bagi mengehadkan penjualan bahan pencuci yang mengandungi asid penghakis mengelakkan penyalahgunaan.


Katanya, Fomca mencadangkan pembelian asid perlu didaftarkan sama seperti penyembur lada supaya dapat mengesan sebarang penyalahgunaan daripada orang ramai sekali gus dapat membendung sebarang masalah.


“Selain itu, ada juga pihak mencadangkan pihak tertentu mewujudkan alternatif menggantikan asid dengan kimia gantian tidak memberi kesan buruk terhadap manusia.


“Asid atau bahan mampu memberi kesan kepada manusia disarankan tidak dijual secara terbuka dan hanya dijual di kedai tertentu supaya masalah penyalahgunaan ini dapat diatasi secara menyeluruh,” katanya.

myMetro | Kawal elak salah guna

No comments:

Post a Comment