Tuesday, June 7, 2011

Minyak lebih AS$100 setong

pix_gal0
Spekulasi kewangan punca permintaan ‘emas hitam’ makin meningkat

SPEKULASI kewangan dan pengaruh bank pusat tertentu dalam pergerakan mata wang adalah antara punca harga minyak mentah dunia melonjak melebihi paras AS$100 setong, kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding harga sebenarnya iaitu antara AS$75 hingga AS$80 setong, kata Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Beliau mengakui, walaupun permintaan bagi ‘emas hitam’ itu makin meningkat dari hari ke hari, namun tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan peningkatan harga komoditi itu dengan kekurangan bekalan di pasaran dunia.
“Bagaimana harga minyak mentah dunia boleh mencecah paras sebegini, seawal tempoh ini dalam kitaran ekonomi semasa, tanpa sebarang bukti sebenar kekurangan bekalan dalam pasaran fizikal?
“Bersandarkan kepada asas semasa pasaran serta kos persekitarannya, saya percaya harga minyak mentah harus kekal berada dalam jajaran antara AS$75 hingga AS$80 setong,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-16 yang disertai ketua eksekutif syarikat minyak dunia, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Persidangan Tahunan Minyak dan Gas Asia (AOGC) ke-16, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjadi asas urus niaga minyak mentah dunia, kini lemah berbanding mata wang utama dunia lain, sekali gus menjadi antara faktor pendorong kenaikan itu.

Semalam, dolar AS diniagakan lemah berbanding euro iaitu pada AS$1.4637, berbanding nilai mata wang Jepun, ia berada di paras 80.31 yen daripada 80.25 yen, manakala berbanding ringgit pula, nilai dolar AS merosot kepada RM3.00 sedolar.
Harga minyak dunia pula diniagakan dalam sentimen bercampur semalam dengan penanda aras West Texas Intermediate (WTI) di dagangan New York bagi minyak mentah ‘light sweet’ penghantaran Julai jatuh 14 sen kepada AS$100.08 setong, manakala minyak Brent North Sea bagi penghantaran Julai diniagakan 41 sen lebih rendah kepada AS$115.43 setong.

Shamsul Azhar berkata, disebabkan kebimbangan kekurangan bekalan serta ketidakseimbangan permintaan, menyebabkan penanda aras harga minyak mentah utama kini berada dalam jajaran tiga angka, selepas mengalami peningkatan lebih AS$25 setong hanya dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Sementara itu, ketegangan politik di Asia Barat dan Afrika Utara yang menimbul kebimbangan gangguan bekalan serta kelemahan dolar AS telah melonjakkan harganya.

Shamsul Azhar berkata, rantau Asia dijangka menggunakan lebih 250 bilion tong minyak menjelang 2030, lebih enam kali rizabnya ketika ini iaitu kira-kira 40 bilion tong.

“Permintaan minyak Asia diunjurkan meningkat sebanyak dua pertiga dalam tempoh 20 tahun ini dan dalam tempoh ini, ia akan menjurus kepada kenaikan permintaan global kasar sebanyak lebih daripada 60 peratus,” katanya.

Bersandarkan unjuran itu, beliau mengesyorkan supaya syarikat minyak global memberi tumpuan kepada aktiviti cari gali di rantau ini, khususnya di Malaysia, Indonesia dan Vietnam ekoran penilaian berasaskan geologi membuktikan sumber minyak belum ditemui di rantau ini diunjurkan berada sekitar jumlah 50 bilion tong.

“Majoriti sumber minyak yang belum ditemui ini dijangka terletak di lapangan minyak yang bersaiz kecil dan sederhana, yang mana secara terkumpulnya masih mempunyai jumlah potensi yang besar,” katanya.
Berita Harian Online | Minyak lebih AS$100 setong

No comments:

Post a Comment