Tuesday, June 7, 2011

Presiden PAS tolak video sebagai bahan bukti kes zina dan liwat

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menolak penggunaan video sebagai bahan bukti dalam kes zina dan liwat.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, video tidak boleh menjadi saksi kerana tiada mata dan telinga.

'Kita berpegang kepada konsep empat saksi yang adil dalam kes zina dan liwat. Video tidak boleh jadi saksi kerana video ini besi, ia tiada mata dan telinga.

'Kalau kes khalwat dengan wanita dan lelaki ada saksi dia dan yang boleh selesaikan kes ini adalah syariat Islam,' katanya semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar PAS Ke-57 di sini, kelmarin.

Menurut beliau lagi, video meskipun memaparkan aksi seks, tidak lebih hanya sebuah besi sedangkan Islam berpegang kepada konsep empat saksi.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata demikian sebagai menyatakan pandangannya berkaitan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut mengenai skandal tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi bagaimanapun menasihatkan kepada semua ahli PAS supaya jangan terlalu beremosi, sebaliknya perlu berdepan dengan 'fitnah' itu secara berilmu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu, berkata kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi dibuat tanpa berdasarkan pengetahuan undang-undang.

Menurutnya, Mahkamah Syariah mempunyai peruntukan menerima bukan sahaja individu bagi memberi keterangan, malah bahan bukti lain yang disebut sebagai keterangan dokumentari.

Tambahnya lagi, bukti tersebut termasuk dokumen, perjanjian bertulis, video dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang juga disebut sebagai keterangan bayyinah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi, bahawa rakaman video seks tidak boleh menjadi saksi kerana ia bukan manusia sebaliknya mesin.

'Perkara ini sudah diputuskan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah kerana jika keterangan hanya dihadkan kepada individu, maka Mahkamah Syariah akan menjadi statik dan jumud.

'Ia juga sesuai dengan perkembangan teknologi semasa,' ujarnya.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment