Tuesday, July 5, 2011

'Ada darah beku di wajah mangsa'


pix_gal0
Ahmad Sarbani disyaki dihempuk ke dinding, saksi inkues nafi suami bunuh diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner semalam diberitahu, muka Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed disyaki dihempuk ke dinding berdasarkan keadaan wajah mangsa ketika proses pengecaman jenazah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Isteri Ahmad Sarbani, Masiah Manap, 50, berkata beliau pelik melihat mayat suaminya ada ketulan darah beku di muka seolah-olah tidak boleh keluar sedangkan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menelefonnya memaklumkan kematian disebabkan beliau rebah di pejabat itu ketika memberi keterangan.
“Kecederaannya tidak seperti orang rebah, jika rebah mesti luka sebelah saja. Ketika pengecaman dilakukan saya dan empat anak perempuan bersama adik ipar, mereka semua menangis melihat keadaan jenazah, berikutan itu saya harus kuat mententeramkan mereka,” katanya.

Beliau yang mendirikan rumah tangga bersama mangsa selama 28 tahun berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abas di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani.

Masiah yang bekerja sebagai Penyelia PETRONAS di Seksyen 26 Shah Alam, memberitahu beliau hanya mengetahui punca suaminya meninggal dunia kerana terjatuh daripada bangunan SPRM selepas dimaklumkan jiran sebaik tiba di rumah dan menonton televisyen, jam 8 malam, 6 April lalu.

Katanya, ada juga jiran bertanya sama ada mangsa membunuh diri tetapi beliau yakin suaminya yang disifatkan sebagai individu penyabar, dan berfikir panjang sama sekali tidak akan berbuat demikian.
“Suami saya sembahyang lima waktu sehari tidak mungkin beliau hendak mati dalam keadaan murtad. Saya yakin beliau tidak buat (bunuh diri),” katanya.

Saksi inkues pertama itu berkata, sebelum ke pejabat SPRM menunggang motosikal pada hari kejadian, suaminya memberitahu anak perempuan mereka beliau akan pulang ke rumah mengambil kereta sekali gus menambah keyakinan mangsa tidak berniat membunuh diri.

Pada 6 April lalu, Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di gelanggang badminton aras satu di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan selepas datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan KDRM.

Sementara itu, pegawai forensik Bukit Aman yang menyiasat tempat kejadian, Deputi Superintendan Sharul Othman Mansor, berkata beliau melihat mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tangan kanan Ahmad Sarbani berada di bawah badan, kaki bersilang serta tulang lutut kanannya terkeluar.

Sebanyak sembilan barang kes ditemui sekitar mayat Ahmad Sarbani dikemukakan di mahkamah termasuk bingkai cermin mata patah, selipar, kasut dan tali pinggang milik mangsa.

Perasaan sedih menyelubungi mahkamah apabila empat anak mangsa berusia 23 hingga 12 tahun menangis teresak-esak di galeri awam ketika Sharul menunjukkan gambar mayat ayah mereka.

Menjawab soalan, Sharul berpendapat Ahmad Sarbani terjatuh dari tingkap di Bilik Pantri di Aras 3, bangunan SPRM itu ketika beliau ingin keluar dari pejabat berkenaan melalui tingkap itu.

Prosiding kes itu bersambung hari ini akan membawa semua yang terbabit ke tempat kejadian di Bangunan SPRM, Jalan Cochrane di sini, jam 10 pagi. Berita Harian Online | 'Ada darah beku di wajah mangsa'

No comments:

Post a Comment