Sunday, July 24, 2011

PKR dakwa pendedahan polis cuba alih perhatian



KOTA BHARU – PKR mendakwa pendedahan video perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) oleh polis semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kejadian sebenar pada perhimpunan 9 Julai lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pihak polis cuba mengubah fakta sebenar kejadian berkenaan dengan penayangan video berkenaan kepada media dan pihak tertentu.

“Pendedahan itu untuk menipu rakyat kerana ramai peserta yang turut serta dalam perhimpunan itu melihat sendiri apa yang dilakukan pihak polis.

“Saya sendiri melihat provokasi pihak berkenaan seperti menakut-nakutkan peserta perhimpunan dengan menawarkan terajang dan mengherdik golongan tua yang turut serta ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan polis mendedahkan video kepada wartawan bagi menangkis tohmahan pihak tertentu terhadap pihak berkuasa berkenaan ketika perhimpunan Bersih.

Menurutnya, polis sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan pendedahan video berkenaan kerana beliau sendiri mengalaminya ketika polis cuba membuat provokasi dan terkena gas pemedih mata.

Katanya, gas berkenaan memang diakui membahayakan dan menyakitkan apabila terkena dan demonstrasi semula yang dilakukan polis ketika menguraikan perhimpunan itu tidak seperti kejadian sebenar.
SH

No comments:

Post a Comment