Wednesday, August 10, 2011

Anti-Tsu Koon makin memuncak

Prestasi kurang memuaskan punca ditolak
BUTTERWORTH: Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, dianggap sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Pulau Pinang berikutan sentimen tidak berpuas hati terhadapnya semakin memuncak di kalangan rakyat negeri ini. 

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, berkata sentimen ‘anti’ terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat semakin menebal di kalangan rakyat ketika kini yang menyebabkan mereka tidak mempunyai alternatif, selain memilih pakatan pembangkang untuk terus memerintah negeri ini.

Bekas Naib Ketua Pemuda GERAKAN itu yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu, berkata rakyat negeri ini tidak menolak BN, tetapi terpaksa mengundi pakatan pembangkang seperti pada Pilihan Raya Umum 2008 hanya kerana tidak sukakan Tsu Koon sebagai tanda protes.
“Malah, wakil rakyat BN yang lebih bagus prestasinya jika dibandingkan dengan wakil rakyat pakatan pembangkang, terutama daripada DAP turut ‘terkorban’ pada pilihan raya itu hanya kerana sentimen ‘anti-Tsu Koon’...cukup sayang mereka ini yang tidak lagi boleh memberi khidmat secara berkesan. 

“BN seolah-olah tidak pernah belajar daripada kesilapannya apabila melantik Tsu Koon sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan terus mengetuai BN Pulau Pinang tanpa asas kukuh menyebabkan rakyat terutama pengundi semakin marah,” kata Tee Beng yang menjadi wakil rakyat tunggal Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Parlimen, ketika dihubungi. 

Ahad lalu, seorang kolumnis akhbar berbahasa Inggeris menulis wujud gelombang ‘anti-Tsu Koon’ di Pulau Pinang dan turut memetik kenyataan Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Tan Kok Pin, bahawa bekas Ketua Menteri itu kini takut kembali ke negeri ini walaupun memegang jawatan itu selama 18 tahun. 

Kok Pin turut melahirkan rasa kecewa dengan prestasi kurang memuaskan Tsu Koon selama menjadi Ketua Menteri. 
Pada pilihan raya umum lalu, BN Pulau Pinang diketuai Tsu Koon hanya memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi UMNO berbanding pakatan pembangkang dengan 29 kerusi. 

Sementara itu, bekas Naib Presiden GERAKAN, Huan Cheng Guan, turut bersependapat dengan Tee Beng bahawa Tsu Koon sepatutnya berundur kerana jelas beliau tidak disukai dan bukannya terdiri dalam kategori ‘calon boleh menang’ seperti sering dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -bharian

No comments:

Post a Comment