Wednesday, August 10, 2011

Penulis blog kempen halang tutup pejabat pos AS



NEW YORK 9 Ogos - Seorang penulis blog giat menjalankan kempen bagi menentang rancangan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (AS) untuk menutup kira-kira 4,300 pejabat pos di seluruh negara ini pada tahun depan.
Steve Hutkins bukan pekerja pos tetapi mengajar kesusasteraan di Universiti New York dan tinggal di pekan kecil bernama Rhinecliff di Lembah Hudson, utara Manhattan.
Tiada penghantaran surat dilakukan ke rumah di Rhinecliff yang memiliki penduduk 685 orang, sebaliknya penduduk mengambil surat di pejabat pos setempat.
Hutkins naik berang pada April lalu apabila mengetahui pejabat pos di Rhinecliff mungkin termasuk dalam senarai untuk ditutup, di bawah rancangan yang ditujukan terhadap pejabat pos di luar bandar yang tidak mendatangkan keuntungan.
Walaupun kedudukan pejabat pos Rhinecliff masih selamat buat masa ini, Hutkins tetap melancarkan kempen untuk menyelamatkan pejabat pos di seluruh negara.
Blog Save the Post Office melaporkan penutupan, penggabungan dan penggantungan pejabat pos selain memaparkan analisis dan pandangan.
"Saya tinggal di sebuah pekan yang sangat kecil dilengkapi sebuah pejabat pos yang sangat kecil, dan matlamat saya untuk menyelamatkan semua pejabat pos seperti itu," katanya.
Beliau begitu obses dengan perjuangan untuk menyekat strategi pengecilan saiz Perkhidmatan Pos sehingga sanggup meminta cuti daripada mengajar untuk memberi fokus terhadap blognya.- Agensi, utusan

No comments:

Post a Comment