Friday, August 5, 2011

DNA 5 pegawai SPRM tak sepadan

Analisis saintis forensik temui calitan asing belakang baju, seluar, stokin Sarbaini 
KUALA LUMPUR: Saintis forensik memberitahu Mahkamah Koroner semalam, hasil analisis DNA lima anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Cochrane di sini, adalah negatif dan tidak berpadanan dengan anggota badan atau pakaian pada mayat Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed.

Dr Seah Lay Hong, 53, daripada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) berkata, beliau menerima sampul surat dimeterai label Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zuhairi Mohamed, jam 9.57 pagi, pada 11 April lalu.
Katanya, beliau menemui dua DNA asing pada tubuh Allahyarham Ahmad Sarbaini yang diperoleh pada calitan belakang baju kemeja dan seluar, dua stokin serta di belakang tangan. 

Beliau berkata, Zuhairi turut menyerahkan DNA milik lima anggota SPRM yang turut dipanggil dalam prosiding inkues lalu iaitu, Penolong Penguasa SPRM Wilayah Persekutuan, Henrita Serai Anak Andrew Lenggie, 24; Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad, 51; Kamal Awang Besar, 31; Abdul Ghani Ali, 57 dan Khalid Amir Meruphy Abdullah, 38. 

Katanya, analisis dijalankan terhadap kelima-lima DNA anggota SPRM itu adalah negatif dan tidak termasuk sebagai penyumbang, manakala dua DNA asing yang ditemui pada tubuh Allahyarham dikenal pasti milik dua mayat lelaki yang menggunakan katil sama dengan si mati ketika proses bedah siasat, iaitu Soo Chew Keong dan Lum Chee Weng masing-masing dijalankan pada 5 dan 6 April lalu. 

“Kami juga ada membuat perbandingan dua DNA asing itu dengan DNA kakitangan JKM yang membuat analisis di dalam bilik itu pada dua tarikh berkenaan, tetapi tidak menemui sebarang persamaan melainkan mayat dua lelaki terbabit,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Hanim Mohd Rashid. 
Beliau memberi keterangan sebagai saksi inkues ke-33 di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues menyiasat kematian Ahmad Sarbaini yang ditemui mati di aras satu gelanggang badminton bangunan SPRM, Jalan Cochrane di sini, jam 10.40 pagi, 6 April lalu. 

Sementara itu, Zuhairi ketika dipanggil sebagai saksi inkues ke-34 berkata, beliau turut menyerahkan cap jari kelima-lima anggota itu bersama 14 pegawai SPRM lain dan keputusan daripada JKM mendapati ia tidak berpadanan dengan DNA yang terdapat pada pakaian si mati. 

Keterangan Zuhairi semalam sebagai saksi terakhir sekali gus menutup prosiding inkues itu selepas bersidang selama 13 hari bermula 4 Julai lalu. 

Pihak pendakwaan diketuai TPR, Mohamad Abazafree Mohd Abbas menyenaraikan 77 saksi kepada mahkamah dan 34 saksi dipanggil daripada keluarga, kenalan rapat Allahyarham, pegawai SPRM dan pegawai KDRM bagi membantu Aizatul Akmal membuat keputusan bagi meleraikan persoalan mengenai kematian Ahmad Sarbaini. 

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September depan untuk keputusan inkues itu. bharian

No comments:

Post a Comment