Friday, August 5, 2011

Saksi lihat lelaki buang barang



SURESH semasa dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lepas.
U. Suresh, 27, berkata, dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki oleh empat orang lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lepas.
Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan tersebut berkata, seorang lelaki telah menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya.
Suresh, yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang.
“Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.
“Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung warna putih ke dalam alur.
“Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan,” katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.
Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyangan, 20; R. Matan, 21; dan R. Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.kosmo

No comments:

Post a Comment