Wednesday, August 3, 2011

Kes Liong Sik: Tun Dr. M akan dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes terhadap Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion.
Dr. Mahathir dipanggil memberi keterangan bagi mengesahkan penerimaan surat bertarikh 29 Jun 2002 yang ditulis oleh bekas Menteri Pengangkutan itu kepada beliau untuk memaklumkan bahawa satu rundingan telah diadakan antara Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).
Rundingan tersebut didakwa berhubung pembelian tanah berkenaan berdasarkan syarat dan terma-terma yang telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan diterima oleh LPK.
Surat tersebut juga didakwa membabitkan cadangan pengambilan balik tanah di Pulau Indah untuk Pembangunan Pusat Distripark Serantau di Pelabuhan Klang yang menjadi bahan bukti perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah kepada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang sedang mendengar keterangan bekas Ketua Pengarah JPPH, Datuk Sahari Mahadi, 63, selaku saksi kedua dalam perbicaraan kes itu yang masuk hari kedua hari ini.
Terdahulu, Sahari memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai kadar kupon 7.5 peratus setahun dan tempoh bayaran dinaikkan sehingga 10 peratus bagi tempoh yang ditambah dari 10 tahun ke 15 tahun.
Beliau memberitahu, perkara itu juga tidak dimaklumkan oleh dua pegawainya ketika itu, Datuk Mani Usilappan serta Faizan Abdul Rahman.
Menurut Sahari, tempoh bayaran balik dengan faedah 7.5 peratus itu sebenarnya tidak mematuhi syarat JPPH yang hanya memperakukan faedah enam peratus dengan tempoh bayaran balik 10 tahun yang termasuk dalam keseluruhan harga tanah tersebut.
'Nilai khas yang diperakui oleh JPPH adalah RM21 sahaja. Faedah 7.5 peratus bukan yang kita perakukan. (Perubahan) Syarat dan terma itu bagaimanapun tidak dimaklumkan oleh pegawai-pegawai saya,'' katanya.
Sahari berkata, selaku ketua pengarah, beliau tidak pernah mengadu tentang jumlah perolehan projek tersebut yang kos tanahnya melebihi apa yang telah diperakui dalam dokumen cadangan pembelian tanah di atas lot berkenaan seluas 830 ekar (335.8 hektar) di Pulau Indah untuk pembinaan projek pembangunan dan pusat pemindahan kapal.
''Ini kerana tiada keperluan atau permintaan daripada mana-mana pihak supaya saya menyuarakan perkara tersebut. Lagipun surat itu diklasifikasikan sebagai sulit,'' ujar saksi itu ketika disoal semula oleh Tun Abdul Majid.
Bagi projek yang berskala besar seperti itu, beliau bersetuju dengan cadangan peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik, bahawa selepas ia diluluskan, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kementerian Kewangan.
Namun katanya, sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau tidak menyuarakan tentang isi kandungan surat bertarikh 29 September 2000.
Saksi itu juga berkata, keterangannya di mahkamah mengenai perkara tersebut adalah berdasarkan apa yang diberitahu oleh Mani Usilappan selaku timbalan beliau yang menyediakan dokumen itu.
''Saya mencadangkan dan memberikan pandangan profesional iaitu pada harga RM25 dan terpulang kepada mereka sama ada mahu mengikutnya atau tidak. Dalam banyak kes lazimnya 99.9 peratus, kerajaan akan mengikut dan mematuhi nasihat JPPH. Bagi kadar harga melebihi RM25 ia bukan sahaja tidak diperakui malah tidak dinyatakan faedah 7.5 peratus.
''Sepatutnya jelas beliau, untuk tempoh 10 tahun jumlah yang perlu dibayar oleh kerajaan adalah RM1,088,456,000 berasaskan harga tanah yang dikira RM25 sekaki persegi (skp),'' katanya.
Liong Sik sedang dibicarakan atas tuduhan utama (pindaan) iaitu telah menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri tentang kadar 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada pembelian tanah di Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 walhal tertuduh tahu bahawa JPPH dalam menentukan kadar tersebut telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Perbuatan yang didakwa dilakukan antara 25 September dan 6 November 2002 itu, telah mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah tersebut daripada KDSB.
Beliau juga didakwa atas dua tuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.
Perbicaraan bersambung esok.
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment