Wednesday, August 3, 2011

Polis China tembak mati dua suspek di Xinjiang



BEIJING 2 Ogos - Polis China menembak mati dua suspek yang diburu kerana disyaki terlibat dalam satu serangan maut di sebuah restoran di wilayah Xinjiang, barat negara ini.
Memtieli Tiliwaldi dan Turson Hasan ditembak mati oleh polis di ladang jagung di pinggir bandar Kashgar lewat semalam.
Sekumpulan penyerang menggempur sebuah restoran di Kashgar kelmarin, membunuh pemiliknya dan seorang pelayan sebelum menetak empat penduduk awam sampai mati, menurut kenyataan di laman web pentadbiran Kashgar.
Serangan itu adalah insiden keganasan terbaru yang menggemparkan Xinjiang, di mana masyarakat minoriti Uighur beragama Islam membenci kehadiran penduduk etnik Cina Han dan kawalan ketat yang dikenakan oleh Beijing.
Pegawai China mendakwa serangan tersebut dilancarkan oleh puak militan Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang, dan dalangnya mendapat latihan membuat senjata dan bom di Pakistan sebelum kembali ke China.
Bagaimanapun pemimpin Uighur yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer memberi gambaran berbeza mengenai ketegangan yang wujud di tanah airnya.
Kadeer, Presiden Kongres Uighur Sedunia, meragui tindakan China mengaitkan serangan itu dengan kumpulan militan antarabangsa.
"Saya berasa sedih kerana penduduk Han dan Uighur terbunuh.
"Pada masa yang sama, saya tidak boleh menyalahkan penduduk Uighur yang melancarkan serangan sedemikian kerana mereka menjadi terdesak disebabkan dasar-dasar China," kata Kadeer dalam satu kenyataan menerusi e-mel. - Reuters

No comments:

Post a Comment