Wednesday, August 17, 2011

Kesihatan Sonia Gandhi jadi misteri



SONIA GANDHI


NEW DELHI - Sejak pengumuman tergempar pada 4 Ogos lalu bahawa ahli politik paling berkuasa di India, Sonia Gandhi akan menjalani pembedahan di Amerika Syarikat (AS), tahap kesihatannya terus dirahsiakan daripada umum.
Sikap berdiam diri media India mengenai keadaan pemimpin berusia 64 tahun itu dan keengganan parti pemerintah, Parti Kongres untuk memberikan maklumat menimbulkan beberapa persoalan negatif berhubung ketelusan di India, negara demokrasi terbesar di dunia.
Kebebasan media dan amalan keterbukaan menjadi kebanggaan di negara itu dan situasi tersebut berbeza daripada negara-negara lain di Asia Selatan.
"Saya sungguh terkejut melihat dalam sesi penerangan biasa Parti Kongres, pihak media tidak meminta maklumat atau mendesak maklumat mengenai keadaan Sonia Gandhi," kata editor akhbar Business Standard, Sanjaya Baru.
"Pihak media mendiamkan diri mengenai keadaan kesihatan Sonia dan beliau merupakan ahli politik paling penting dalam negara ini," tambahnya semasa muncul dalam satu sesi debat di saluran televisyen CNN-IBN.
Sonia yang dilahirkan di Itali merupakan balu bekas perdana menteri India, Rajiv Gandhi yang mati dibunuh.
Beliau merupakan Presiden Parti Kongres dan pengerusi pentadbiran campuran India.
Sejak Sonia dimasukkan ke hospital, beberapa penasihat pemimpin berkenaan mengesahkan beliau berada di unit rawatan rapi selama 24 jam.
Menurut mereka, wanita itu kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan di satu lokasi rahsia dipercayai di New York, AS.
Sebelum ini sebuah majalah tempatan, Tehelka melaporkan bahawa Sonia menjalani pembedahan di Pusat Kanser Memorial di New York manakala sebuah akhbar tempatan lain, Deccan Herald pula memberitahu pemimpin itu menjalani pembedahan akibat kanser servik.
Dinasti Gandhi yang berasal daripada perdana menteri India yang pertama Jawaharlal Nehru tidak mempunyai kaitan dengan bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.
Dinasti itu memiliki pengaruh besar dalam sejarah pasca kemerdekaan India.
Tiga anggota keluarga Gandhi pernah menjadi perdana menteri India dengan anak lelaki Sonia, Rahul Gandhi, 41, dikatakan akan menduduki kerusi perdana menteri negara itu. - AFP, kosmo

No comments:

Post a Comment