Wednesday, August 17, 2011

Sarjan nafi tendang kemaluan suspek

SURESH (depan) dan Sarawanan   dibawa  ke  Mahkamah Tinggi Jenayah 8, Shah Alam, semalam.
SURESH (depan) dan Sarawanan dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 8, Shah Alam, semalam.

Saksi tinggal senjata dalam kereta ketika soal siasat 

SHAH ALAM: Seorang anggota polis semalam menafikan membawa pistol ketika menyoal siasat suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, sebaliknya pistol itu ditinggalkan dalam keretanya di Balai Polis Selayang.
Sarjan N Thiagarajan, 46, dari Cawangan D6 Bukit Aman, berkata beliau tidak membawa pistol ketika menemu bual tertuduh keempat, R Khatavarayan, 31, kerana lokasi temubual itu adalah tempat larangan membawa pistol.
Thiagarajan berkata, beliau meletakkan pistolnya dalam kereta di pekarangan balai polis kerana ada pengawal balai dan biasa meninggalkan pistolnya dalam kereta jika ada sesi temu bual dengan mana-mana suspek. 

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Thiagarajan menafikan beliau dan pegawai atasannya, Cif Inspektor N Govindan memasukkan pistol ke dalam mulut Khatavarayan untuk mengugutnya. 

Beliau yang sudah 26 tahun berkhidmat dengan PDRM, turut menafikan memukul dan menendang kemaluan Khatavarayan dan tertuduh kedua, T Thilaiyalagan, 20. 

Disoal mengenai gambarnya mengepit kepala Thilaiyalagan di atas jambatan Sungai Kampung Endah, Thiagarajan berkata, beliau berbuat demikian atas permintaan tertuduh sendiri bagi mengelakkan gambarnya dirakam media. 
“Sebab itu saya pegang kepala dan lehernya, manakala polis lain pegang baju tertuduh sebagai langkah keselamatan kerana takut mereka melarikan diri,” katanya. 

Thiagarajan juga tidak bersetuju kedua-dua suspek tidak diberi makan dan minum sepanjang dibawa ke Ladang Gadong serta beberapa lokasi lain di antara 11 dan 14 September 2010. 

Disoal apakah kaedah menemu bual Khatavarayan; Thiagarajan berkata, beliau menggunakan kaedah temu bual biasa. 
Disoal peguam bela Gurbachan Singh, yang mewakili Thilaiyalagan, Thiagarajan mengakui beliau tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan dia menyimpan pistolnya di dalam kereta. 

Thiagarajan juga bersetuju mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara, beliau tidak dibenarkan menyimpan pistol dalam kereta, selain mengakui ada stor senjata di balai polis untuk menyimpan dan mengambil senjata. 

Disoal seorang lagi peguam bela Amer Hamzah, Thiagarajan menafikan keterangannya meninggalkan pistol dalam kereta adalah rekaan semata-mata. 

Sementara itu, prosiding semalam turut hangat dengan pertengkaran mulut antara Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan peguam bela Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42. 

Pertikaman lidah itu berlaku apabila disoal, Thiagarajan berkata, suspek tidak bergari ketika soal siasat, manakala Govindan dalam keterangannya berkata suspek bergari. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menegur kedua-dua mereka dengan berkata: “Bila saya bercakap, kamu jangan bertengkar. Jika mahu bergaduh, saya beri lima minit gaduh di luar mahkamah.” 

Ishak mengajak Manjeet keluar, namun Manjeet menjelaskan beliau tidak perlu berbuat demikian kerana dia seorang peguam. Akhtar membenarkan Ishak untuk menenangkan dirinya di luar. 

Terdahulu, Govindan yang menyambung keterangannya menegaskan beliau akan mengaku jika benar mendera suspek. 

Govindan juga tidak bersetuju beliau menggunakan senjata dalam siasatan di IPD Gombak serta beliau dan pasukannya menggunakan kekasaran terhadap tertuduh kedua, Thilaiyalagan dan tertuduh keempat, Khatavarayan. 

Mahkamah kemudian diberitahu ada percanggahan keterangan Govindan dan diari lokap yang membabitkan waktu dan urutan masa Thilaiyalagan, tertuduh ketiga, R Matan dan Khatavarayan serta saksi pendakwaan ke-29, U Suresh, dibawa keluar untuk disoal siasat pada 11 September 2010. 

Manjeet mengemukakan diari lokap dan meminta Govindan membacakan waktu keempat-empat mereka dibawa keluar dari lokap pada tarikh itu. Apabila Govindan membaca diari itu, masa tercatat pada diari ketika Khatavarayan dibawa keluar adalah jam 1.10 petang dan bukannya 12.10 tengah hari seperti dalam keterangan Govindan sebelum ini. 

Govindan berkata, beliau membawa keluar Khatavarayan pada jam 12.10 tengah hari tetapi bukan beliau yang menulis catatan dalam diari itu. 

Beliau juga memberitahu mahkamah beliau dan ahli pasukannya tidak mempunyai sebarang kepakaran atau kemahiran dan sebagai anggota Bahagian D6, tugas mereka adalah untuk membantu siasatan dan memberikan bantuan teknikal kepada pegawai penyiasat. 

Ditanya Manjeet sama ada beliau tahu mengenai teknik menyoal siasat seperti teknik Ried, teknik polis jahat dan polis baik atau penggunaan getah paip yang dibalut dengan pita dan digunakan untuk memukul telapak kaki suspek, Govindan berkata, beliau tidak tahu. 

Perbicaraan bersambung esok. -bharian

No comments:

Post a Comment