Wednesday, August 17, 2011

AS tuduh Pakistan beri China sampel helikopter

ISLAMABAD 16 Ogos - Badan perisikan Pakistan menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) kononnya tentera China dibenarkan mengambil gambar dan sampel daripada bangkai sebuah helikopter Black Hawk yang musnah dalam serangan untuk membunuh Osama bin Laden pada Mei lalu.
Pegawai AS percaya Pakistan secara rahsia membenarkan tentera China memeriksa bangkai helikopter yang diubah suai itu yang terhempas di pekarangan rumah persembunyian Osama di Abbottabad.
Akhbar New York Times (NYT) memetik sumber perisikan AS sebagai berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan panggilan telefon yang dipintas.
Helikopter tersebut kemudiannya diletupkan oleh komando khas AS untuk mencegahnya daripada terjatuh ke tangan negara asing.
Seluruh sistem elektroniknya dimusnahkan tetapi bahagian ekor helikopter itu masih utuh.
Seorang pegawai perisikan Pakistan menyifatkan laporan NYT itu sebagai 'tidak berasas' dan 'spekulasi tidak membantu membina hubungan'.
Bagaimanapun sejurus selepas pembunuhan Osama, para pegawai Pakistan yang marah kerana serangan itu dirahsiakan daripada mereka, membayangkan tentera China mungkin dibenarkan memeriksa bangkai helikopter tersebut.
Islamabad menjalin hubungan erat dengan tentera China dan membenarkan jurutera China bekerja di pangkalan tentera Pakistan.
Kedua-dua negara juga menjalin hubungan ekonomi yang semakin erat, dengan syarikat China banyak melabur dalam sektor infrastruktur dan telekomunikasi di Pakistan.
Jika laporan NYT itu sah, ketegangan antara Islamabad dengan Washington berhubung serangan untuk membunuh Osama dijangka meningkat lagi. - Agensi, utusan

No comments:

Post a Comment