Thursday, August 18, 2011

Semua pihak di Somalia bersalah

MOGADISHU 16 Ogos - Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara ini.
Kumpulan yang berpangkalan di New York itu berkata, al-Shabab, kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di negara ini, bersalah melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan penahanan tanpa usul periksa.
''Kedua-dua pihak telah menggunakan senjata berat di Mogadishu yang melanggar undang-undang dan menyebabkan kematian orang awam.
''Al-Shabab melancarkan serangan mortar ke kawasan yang padat dengan penduduk. Kerajaan dan tentera AMISOM pula membalas dengan pelbagai diskriminasi,'' kata kumpulan hak asasi itu dalam satu laporan yang diterbitkan kelmarin.
Akibatnya, orang awam tidak tahu di mana untuk mencari tempat perlindungan, kata HRW.
Al-Shabab pada 6 Ogos lalu berundur dari Mogadishu dengan menyatakan ia merupakan satu langkah taktikal yang bermaksud ia mungkin menggunakan serangan berani mati selepas anggota kumpulan militan itu berikrar terus menentang kerajaan.
Keganasan di Mogadishu telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran selepas mereka melarikan diri ke bandar itu bagi mencari makanan dan minuman.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Somalia, Abdirahman Omar Osman menafikan dakwaan HRW.
''Kami menolak dakwaan itu dan kerajaan bersedia untuk bertemu HRW bagi membincangkan kebimbangan mereka.
''Angka sebenar yang boleh dipercayai sukar dicari di Somalia yang menunjukkan maklumat mereka tidak mempunyai kredibiliti,'' katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, al-Shabab bertanggungjawab dalam kebanyakan pelanggaran hak asasi manusia di Somalia. - Agensi, utusan

No comments:

Post a Comment