Wednesday, September 7, 2011

Buaya tembaga gergasi ditangkap


PENDUDUK kampung mengerumuni buaya tembaga jantan sepanjang 6.4 meter yang ditangkap di bandar Bunawan, Pulau Mindanao, Filipina.
PENDUDUK kampung mengerumuni buaya tembaga jantan sepanjang 6.4 meter yang ditangkap di bandar Bunawan, Pulau Mindanao, Filipina.

MANILA: Seekor buaya tembaga berukuran 6.4 meter panjang, dipercayai yang paling besar ditemui, ditangkap di bahagian selatan Filipina setelah beberapa kejadian serangan buaya berlaku.
Seorang pemburu, Rollie Sumiller berkata, reptilia jantan seberat 1,075 kilogram itu dipercayai membaham seorang petani yang hilang Julai lalu di bandar Bunawan dan juga menyerang dan membaham kepala kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dua tahun lalu.
Pemburu itu menyiasat isi perut haiwan itu dengan memaksanya muntah selepas ia ditangkap Sabtu lalu, tetapi, tiada cebisan tubuh manusia ataupun kerbau yang dilaporkan hilang oleh penduduk di situ ditemui.

“Penduduk merasa lega, tapi kami tak pasti ia telah memakan manusia kerana mereka pernah melihat beberapa ekor buaya lain di kawasan itu,” kata Sumiller.


Kerajaan tempatan di bandar miskin yang menempatkan 30,000 orang penduduk itu, membuat keputusan untuk tidak membunuh buaya tetapi akan membuka sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu kepada orang ramai.

Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, mungkin buaya itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di dunia.

“Berdasarkan rekod yang ada, buaya yang terbesar ditangkap sebelum ini ialah sepanjang 5.48 meter,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment