Wednesday, September 7, 2011

Semua dibawa pulang

KUALA LUMPUR: “Pihak kedutaan Malaysia memaklumkan akan membawa pulang semua pelajar di Syria kerana keadaan semakin meruncing. Baki wang simpanan juga tinggal tidak seberapa dan saya perlu menangguhkan bayaran sewa rumah kerana tidak mampu.
“Kami benar-benar terdesak ketika ini. Rasa bersyukur bila dimaklumkan kerajaan akan membantu menyelesaikan masalah kami,” kata Noor Ikhwan Abdul Razak, 23, ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia di Syria ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan wakil kedutaan di Damsyik sewaktu pertemuan dengan wakil pelajar yang diaturkan khusus untuk mencari penyelesaian berhubung masalah dihadapi kumpulan pelajar berkenaan.

Katanya, keadaan di negara bergolak itu semakin meruncing dengan sekatan ke atas penggunaan kad kredit untuk mengeluarkan wang masuk minggu kedua.

“Saya sendiri terpaksa menangguhkan bayaran beberapa keperluan lain kerana perlu berjimat untuk membeli makanan,” katanya menerusi perbualan telefon, semalam.

Ikhwan berkata, kedutaan memaklumkan ia akan dilakukan selewat-lewatnya bulan ini.


Dia yang mengikuti pengajian di Universiti Fatah Islami berkata, setakat ini lebih 200 penuntut negara ini terjejas.

Akhbar ini semalam melaporkan, Kementerian Pengajian Tinggi akan mengemukakan surat kepada institut pengajian tinggi (IPT) di Syria bagi memaklumkan masalah dihadapi penuntut Malaysia.

No comments:

Post a Comment