Wednesday, September 7, 2011

Rugi RM80,000 angkara tak tukar nama

KUALA LUMPUR: Seorang wakil insurans terkejut apabila pihak bank menyamannya bagi mendapatkan semula wang pinjaman kereta BMW yang pernah dibuatnya sedangkan kereta berkenaan sudah dijual kepada sebuah syarikat kereta terpakai empat tahun lalu.
Difahamkan, syarikat beroperasi di Kota Damansara itu tidak menyelesaikan proses pertukaran hak milik kereta mangsa, Ho Pui Tiong, 41, hingga menyebabkan beliau kerugian hampir RM80,000 apabila disaman pihak bank, awal bulan lalu.

Menurutnya, dia menjual kereta BMW miliknya dan membeli kereta baru daripada syarikat terbabit dengan bayaran tambahan RM10,000 secara tunai.

“Namun, lebih memeranjatkan, penama hak milik kereta BMW terbabit tidak ditukar hingga hari ini walaupun segala bayaran sudah saya jelaskan kepada syarikat itu.

“Lebih menghairankan, saya mendapati kereta berkenaan tidak dijual kepada pemilik baru, tetapi digunakan seorang ahli keluarga pemilik syarikat terbabit untuk kegunaan peribadi sejak tiga tahun lalu.

“Saya cuba menghubungi syarikat itu sebelum dimaklumkan syarikat terbabit tidak beroperasi sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika membuat aduan di Balai Berita, di sini, semalam.


Pui Tiong berkata, dia dimaklumkan kereta itu sudah dijual kepada pembeli baru dari Melaka, namun proses pertukaran hak milik dan penama kenderaan berkenaan masih tidak selesai.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas menerima surat saman daripada bank awal bulan lalu berjumlah hampir RM80,000.
“Bagi menyelesaikan bayaran saman itu, saya kini terpaksa menjual sebuah rumah milik keluarga di Puchong,” katanya.

Sehubungan itu, Pui Tiong membuat laporan di Balai Polis Jinjang bagi menuntut syarikat terbabit bertanggungjawab atas kerugiannya.

No comments:

Post a Comment