Wednesday, October 26, 2011

Natasya dakwa tanggung belanja sekolah anak



ZAINAL Abidin hadir bersama peguamnya pada perbicaraan tuntutan nafkah oleh bekas isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Bekas isteri penyanyi, Zainal Abidin yang terkenal dengan lagu Hijau mendakwa dia telah menanggung semua perbelanjaan persekolahan dua anaknya bagi mengelakkan mereka diberhentikan daripada sekolah dan tidak dapat menduduki peperiksaan jika bayaran tidak dibuat mengikut masa.

Natasya Gabriel Abdullah berkata, dia telah menempatkan dua anaknya itu di sekolah yang bagus dan mendakwa kedua-dua permata hatinya itu telah membesar dengan baik.

Wanita berusia 52 tahun itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini ketika disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Norhusniah Husin dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah anak yang dikemukakannya terhadap bekas suaminya itu.

Natasya setakat hari ini telah mengesahkan 85 daripada 224 dokumen yang mengandungi bukti-bukti pembayaran yang ditandakan sebagai keterangannya dalam kes tersebut.

Ia merangkumi bayaran persekolahan di sekolah kebangsaan dan sekolah swasta (pelajar khas) bagi anak lelakinya, Mikhail, 18, yang menghidap autisme serta resit-resit pembayaran persekolahan anak perempuannya, Timur, 16.

Bayaran tersebut termasuk yuran sekolah yang dibayar secara tahunan dan bulanan, tambang pengangkutan ke sekolah, pakaian seragam sekolah, buku-buku serta kos-kos tambahan yang berkaitan.

Natasya yang merupakan bekas model menuntut nafkah anak berjumlah RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind pada tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak tahun 2002 sehingga kini.

Natasya bernikah dengan Zainal, 52, atau nama penuhnya, Zainal Abidin Mohamed pada 24 Mac 1987 dan bercerai pada 12 Disember 2000.

Zainal Abidin yang diwakili oleh peguam syarie, Abdul Halim Bahari turut hadir memakai seluar jeans biru, kemeja putih dan bersongkok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain bersambung 15 November ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment