Tuesday, December 20, 2011

2 solat Jumaat satu kariah haram: Mufti





2011/12/20

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Perbuatan mendirikan dua solat Jumaat dalam satu kariah adalah haram, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. 

Beliau berkata, mengikut mazhab Shafie umat Islam tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah, dan solat yang sah hanyalah solat didirikan di masjid diiktiraf dan diperkenan Sultan yang juga Ketua Agama Negeri.
Katanya, umat Islam di negara ini tidak boleh mengikut kaedah diguna pakai di negara Arab yang mengikut mazhab Hanafi kerana tiada istilah surau dalam mazhab itu, malah bukan semua masjid boleh mendirikan solat Jumaat.
“Kita jangan tiru tak tentu hala, ada mazhab masing-masing. Kita tidak boleh sama sekali berpecah dalam masalah ibadat kerana kita disuruh berjemaah dan haram untuk kita berpecah,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Baru-baru ini, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah dan melahirkan perasaan dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di negeri itu. 

Malah tindakan itu didakwa berpunca daripada `Amanat Haji Hadi’ yang dikeluarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Banggol Peradong, Marang hampir 30 tahun lalu. 

Harussani turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempermainkan dan mempolitikkan isu agama. 
“Kenapa hendak mempolitikkan masalah agama, tengok bangsa lain mereka tetap bersatu. Mana-mana pihak yang mencetuskan isu ini perlu kembali ke ajaran Islam sebenar,” katanya. 

Pengerusi PERKIM Wilayah Persekutuan, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata tindak tanduk yang menandakan wujudnya perpecahan apabila penyokong PAS tidak yakin solat mereka sah jika diimamkan penyokong kerajaan yang didakwa mereka sebagai orang kafir dan fasik, sedangkan Islam membenarkan umatnya menunaikan solat dengan diimamkan orang fasik demi menjaga perpaduan. 

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin PAS bertanggungjawab terhadap tindakan pengikut mereka, sekali gus memperbetulkan isu berkenaan bagi mengelak perpecahan yang lebih teruk sehingga menggugat kesucian Islam. 

“Tindakan pemimpin PAS termasuk (Mursyidul Amnya) Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sering membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan antara punca penyokong parti itu bersikap fanatik dan takut mendirikan solat di masjid kerajaan,” katanya semalam. 

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata berdasarkan mazhab Shafie, tindakan mendirikan solat berasingan dibenarkan jika tidak mendatangkan sebarang masalah dan huru-hara, sebaliknya mampu memberi ketenangan kepada umat Islam. 

No comments:

Post a Comment