Tuesday, December 20, 2011

Umno hidup atas tipu helah

Ahmad Lutfi Othman

Meskipun Umno menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya dalam perhimpunan agung Umno 2011, target sebenarnya adalah untuk melemahkan PAS atau sekurang-kurangnya terus meletakkan parti Islam itu dilihat sebagai komponen terkecil dalam Pakatan Rakyat. Ia bagi memudahkan Umno memainkan emosi dan sentimen pengundi Melayu, serta menyuntik keraguan tentang keupayaan PAS untuk "menggantikan Umno" sebagai teras dalam kerajaan baru nanti.

Melalui kolum ini, agak kerap juga saya mengingatkan bahawa seteru politik Umno yang utama, daripada dahulu hingga sekarang, tetap sama, iaitu PAS. Justeru, walaupun ada suara pemimpin tertinggi Umno untuk mengajak PAS mengadakan persefahaman politik, seperti pada 1999 dan 2008 -- setiap kali sebaik saja keputusan pilihan raya yang menjejaskan Umno -- ia lebih kepada usaha terdesak parti itu bagi mengekalkan kuasa. (Menjelang pilihan raya 1990, yang menyaksikan persefahaman politik pembangkang yang menggusarkan Dr Mahathir Mohamad, PAS juga didekati dengan motif menggagalkan barisan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, yang diketuai tengku Razaleigh Hamzah).

Demi survival kuasa, Umno bersedia melakukan apa jua, termasuk menyembah dan mengemis individu atau parti yang dimusuhinya sejak lama. Pada 1999, Dr Mahathir beberapa kali beria-ia memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, untuk membincangkan isu-isu "perpaduan ummah". Ya, kita tidak boleh bayangkan bagaimana wajah Umno tanpa singgahsana kuasa. Benar, Umno tewas beberapa kali, di beberapa negeri, tetapi ia tetap dapat berpaut erat dengan kuasa kerajaan persekutuan, yang masih menjanjikan pelbagai "keasyikan". Kekayaan, prestij dan pengaruh terus terpelihara.

Apabila kedudukan Umno yang tergugat teruk dalam pilihan raya 1999, sehingga mencalarkan imejnya sebagai parti terbesar orang Melayu, telah dapat dipulihkan dalam pilihan raya 2004, maka tawaran atas nama "perpaduan ummah" itu tidak timbul lagi. PAS kembali digasak dan diasak. Pelbagai istilah dan label negatif yang dilemparkan sebelum itu timbul kembali. Aktivisnya seolah-olah menjadi warganegara kelas kedua, ditekan dan ditindas jika ada peluang berbuat demikian.

Sebaik saja kuasa Umno kembali terancam, seperti berlaku pada 2008, maka kedengaran kembali suara-suara merintih dan merayu untuk menjalin kerjasama dan muafakat, atas nama kepentingan bangsa dan memartabatkan agama. Seolah-olah selama ini Umno begitu prihatin dengan degup jantung penderitaan umat ... Didengungkan bahawa Melayu akan kehilangan kuasa politik sedangkan yang panik menanti saat-saat kejatuhan adalah Umno.

Namun, selepas ajakan atau pelawaan ditolak, secara tiba-tiba PAS akan dituduh sudah terpesong jauh, serta menyeleweng daripada prinsip dan perjuangannya yang asal, walhal selama ini Umno tidak pernah pula menghormati dasar Islam yang diasaskan sejak penubuhan PAS 60 tahun lalu itu.

Oleh kerana imej buruk DAP di kalangan masyarakat Melayu-Islam dikira masih belum dapat dibersihkan, maka wajah PAS akan dihodohkan dengan bermacam-macam dakwaan dan tohmahan seperti "PAS alat DAP", "PAS menjadi biro agama DAP", "PAS diperkudakan DAP". Segala perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS -- sesuatu yang lazim bagi mana-mana parti politik yang dinamik -- akan dikaitkan dengan "ketamakan untuk berkuasa" dan "keghairahan untuk mendakap Putrajaya".

Kebetulan pula dalam PRU12, DAP menunjukkan prestasi paling cemerlang berbanding PAS dan KeADILan. Dalam masa sama, politik sering dikaitkan dengan bilangan atau nombor. Meskipun diakui bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada mana-mana parti, walaupun mempunyai kerusi lebih banyak, boleh memaksa kehendaknya kepada pihak lain, sepertimana Umno sering bertindak kepada komponen BN, namun real politik harus diambil kira.

Apa pun, tohmahan Umno tidak akan berhenti di situ. Misalnya, apabila PAS melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan baru-baru ini, susulan daripada tema muktamar tahunan Jun lalu, strategis Umno terus menuduh bahawa DAP menjadi faktor utama PAS beralih daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam berita Bernama TV, malam Jumaat lalu, Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi melemparkan tuduhan sama. Katanya, perubahan dasar dalam PAS ditentukan oleh taukeh politiknya, DAP. Sedangkan tema Negara Berkebajikan ini bukan perkara baru. Model negara yang diiktibarkan daripada al-Quran dan Sunnah ini terakam sejak penubuhan PAS lagi, dengan ungkapan "Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur", bermaksud "Negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun".

Malah, tema manifesto PAS dalam pilihan raya 2008, yang dilancarkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Pejabat Agung, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 2008 adalah "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih: Menuju Negara Berkebajikan". Harus diingat bahawa ketika itu belum lagi ditubuhkan Pakatan Rakyat, dan PAS juga tidak mengadakan kerjasama politik secara langsung dengan DAP, selepas parti itu keluar daripada Barisan Alternatif sebelum pilihan raya 2004.

Dalam ucapan pelancaran manifesto itu, Ustaz Hadio berkata, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state'. "Walaupun sebahagiannya dilaksana oleh negara-negara Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas. Bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah, adil dan bersih," katanya.

Ternyata Umno bertungkus-lumus berusaha menyambung talian hayatnya di atas siri pembohongan dan penipuan .Umno hidup atas tipu helah:

No comments:

Post a Comment