Tuesday, December 20, 2011

Nasib Khir Toyo Diputuskan Jumaat


SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Tinggi di sini Datuk Wira Mohtaruddin Baki menetapkan Jumaat untuk menyampaikan keputusannya dalam perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo selepas pihak pembelaan menutup hujah mereka pada Isnin.

Terdahulu, pihak pembelaan berhujah bahawa tidak terdapat bukti yang Khir telah memberi layanan istimewa kepada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni.

Peguam bela Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, oleh yang demikian tidak terdapat campurtangan tidak sah oleh tertuduh terhadap sebarang projek ahli perniagaan Shamsuddin.

"Jika saksi pendakwaan kedua (Shamsuddin) mengharapkan sesuatu keistimewaan dalam bentuk layanan khas, itu tidak boleh dianggap paksaan dalam sebarang bentuk kerana ia didorong oleh perasaan tamak.

"Mesti wujud paksaan yang jelas...apakah ada secebis bukti untuk menunjukkan yang dituduh ada menyatakan sesuatu yang tidak wajar? Tidak ada langsung pada masa lalu, kini dan masa depan," katanya.

Dr Khir diminta membela diri atas tuduhan menerima bagi diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada Shamsuddin pada harga RM3.5 juta, lebih rendah dari harga RM6.5 juta yang dibayar Ditamas pada 2004.

Dr Khir dikatakan mengadakan transaksi itu dengan pengetahuan bahawa Shamsuddin mempunyai urusan dengannya dalam kapasiti rasminya sebagai menteri besar Selangor pada masa itu.

ADUN Sungai Panjang itu dikatakan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini pada 29 Mei, 2007.

Mengakui bahawa tuduhan pendakwa terhadap Dr Khir berkisar pada keterangan Shamsuddin, Kamarul Hisham berkata Shamsuddin telah gagal menunjukkan bukti yang beliau telah diarah oleh bekas menteri besar itu untuk membeli banglo itu di dua plot tanah berkenaan pada 2004.

Peguam itu menarik perhatian bahawa Shamsuddin dituduh bersubahat dengan Dr Khir dan kemudian dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Jun selepas dakwaan terhadapnya ditarik balik.

Beliau berkata Shamsuddin selepas itu menjadi saksi bagi pendakwaan hasil daripada tuduhan terhadapnya ditarik balik.

"Undang-undang biasa melihat testimoni saksi seumpama itu dengan penuh syak," kata beliau.

Kamarul Hisham juga menarik perhatian mahkamah bahawa Shamsuddin ada memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memberikan tiga kenyataan bercanggah dalam dua rakaman kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) pada 2009 dan 7 Jun tahun ini selepas dipujuk oleh Dr Khir.

Shamsuddin berkata beliau telah dipaksa banyak kali oleh Dr Khir jangan melibatkan dirinya selepas beliau (Shamsuddin) dipanggil oleh MACC memberikan kenyataannya.

Kamarul Hisham berkata satu daripada percanggahan dalam kenyataan diberikan kepada MACC pada 2009 ialah beliau (Shamsuddin) tidak menyatakan kepada MACC bahawa beliau tidak mempunyai pilihan tetapi membeli harta itu bagi pihak tertuduh.

"Tetapi beliau mengubah keterangannya di mahkamah dengan mendakwa beliau telah membeli harta itu dengan paksaan," kata Kamarul Hisham.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed mengetuai barisan pendakwaan. - BERNAMA

mStar Online : Nasib Khir Toyo Diputuskan Jumaat:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment