Datuk Seri Anwar Ibrahim

GEORGETOWN - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersumpah dengan memegang al-quran.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu tidak perlu dilakukan berikutan ia perlu dibuktikan dengan fakta dan bukannya dengan bersumpah seperti yang diminta.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi Parti Keadilan Rakyat hari ini, membidas dakwaan Tun Dr Mahathir mengenai Anwar yang dikatakan adalah agen Barat iaitu Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut kenyataan itu, dalam rekod Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu Tun Dr mahathir memfitnah Anwar.

"Sewajarnya juga dinyatakan ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, beliau telah bertindak menulis surat kepada Bank Dunia bahawa Malaysia tidak lagi memerlukan bantuan institusi kewangan itu.

Kini, rakyat tidak lagi mudah ditipu dan tidak akan tergugat keyakinan terus menyokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang."

Beberapa hari lalu, Tun Dr Mahathir telah mencabar Anwar bersumpah dengan menjunjung al-Quran.