Sunday, December 18, 2011

Dua tahun derita barah hidung


Dua tahun derita barah hidung

BALING - Seorang penduduk Kampung Rambong Batu 7, Baling, terpaksa menanggung derita barah hidung sejak dua tahun lalu.

Barah yang berpunca daripada ketumbahan kecil di dalam hidung Zakaria Awang, 71, bertambah teruk selepas melakukan pembedahan.

Isterinya, Salmah Mat, 61, berkata, suaminya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbahan pada tahun lepas namun keadaannya kembali teruk semasa menjalani proses rawatan susulan.

“Semasa pembedahan, isi bahu kanan suami diambil untuk menampung isi hidung suami yang dibedah. Namun, pembedahan itu tidak memberikan hasil malah menjadikan keadaan suami bertambah teruk sehingga sekarang.

“Kini, barah semakin membesar sehingga meluruhkan semua giginya. Suami tidak lagi mampu mengunyah makanan pepejal melainkan makanan yang berbentuk cecair.

“Keadaannya semakin lemah dan terpaksa mengharapkan sokongan keluarga untuk bergerak,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cara yang digunakannya untuk mengubati penyakit suaminya namun tidak memberikan sebarang perubahan yang positif.

“Saya telah ke Hospital Sungai Petani, doktor berkenaan mengatakan bahagian hidung suami perlu dibuang untuk mengelakkan barah ini terus merebak.

“Tetapi. saya terbayangkan, apakah suami mampu hidup dalam keadaan wajah yang tidak berhidung. Saya berharap, keadaan suami pulih tanpa membuang bahagian hidungnya.

“Selain itu, saya juga telah membawa suami ke hospital swasta di Pulau Pinang, doktor berkenaan tidak mampu mengambil kes suami dan menyarankan menggunakan khidmat rawatan tradisional,” katanya.

Menurutnya, dia telah berjumpa ratusan pengamal perubatan tradisional bagi membantu memulihkan keadaan suami, namun, rawatan itu juga tidak berhasil.

“Saya turut bercadang membawa suami ke Thailand untuk mendapatkan rawatan, namun disebabkan faktor jarak dan kewangan, saya terpaksa membatalkan hasrat ini.

“Saya dan anak-anak telah berikhtiar pelbagai cara untuk mengubati penyakit suami namun tiada sebarang perubahan yang berlaku sehingga kini.

“Ada sesetengah pihak yang menyarankan agar membawa suami berjumpa dengan doktor pakar namun kekangan kewangan membatalkan segalanya,” katanya

Sesiapa yang mempunyai kemahiran dan ingin membantu membantu Zakaria Awang boleh menghubungi Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Rambong, Sofian Isa di talian 019-4283919. Dua tahun derita barah hidung - Utara - Sinar Harian:

No comments:

Post a Comment