Lim Guan Eng

BUTTERWORTH - Pakatan pembangkang mengulangi pendirian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti kerana beliau dianggap "paling bersih".

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tiada pemimpin Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.

"Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Menuntut Keadilan di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini malam tadi.

Perhimpunan anjuran PKR itu adalah untuk memberi penerangan kepada orang ramai berhubung isu semasa serta meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, empat tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata sepanjang penganjuran perhimpunan aman oleh PKR, Pas dan DAP, tiada sebarang kekecohan yang berlaku kerana kehadiran peserta adalah untuk menuntut keadilan.

"Saya yakin selama 10 tahun pelbagai perhimpunan aman dilakukan, tiada sebarang insiden yang berlaku melainkan provokasi oleh Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata pihaknya kini dalam kaedah untuk menyerang BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13 berikutan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat.