KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungip diberi amaran kerana mengeluarkan kenyataan mendahului parti berhubung soal senarai bakal calon pilihan raya umum, bulan lalu.

Amaran itu telah dikeluarkan pada satu pertemuan dengan empat pemimpin kanan Pas di ibu negara, kelmarin.

Beliau telah membuat satu kenyataan berkenaan soal percalonan Datuk Dr Hasan Ali, di mana bekas pesuruhjaya Pas Selangor itu dikatakan tidak menerima pencalonan yang mencukupi untuk dipilih sebagai calon mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

Hasan dipecat sebagai ahli Pas berkuat kuasa kelmarin.

Laporan Harakahdaily pagi ini menyebut Saari telah dipanggil bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan parti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Beliau diingatkan agar lebih berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan imej buruk ke atas parti," kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian Online pagi ini.

Tuan Ibrahim menjelaskan, Saari telah dipanggil kelmarin, hari Pas mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan memutuskan tindakan tegas ke atas Hasan.

"Kami memanggil beliau pada hari yang sama jawatankuasa kerja memutuskan untuk memecat Datuk Hasan Ali, kami memberi amaran agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan mendahului kepimpinan pusat," katanya.

Tuan Ibrahim menambah, langkah memberi amaran sudah cukup memadai sebab Saari tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sedemikian selepas itu.

Laporan itu juga menyebut, Mustafa sebelum ini ada menegaskan bahawa walaupun pemilihan Pas adalah berdasarkan pendekatan demokratik di mana parti Islam itu mendengar suara akar umbi bagi memilih calon, soal calon ditentukan secara muktamad oleh peringkat pusat.

“Pertamanya Setiausaha Agung akan pinta negeri-negeri menyediakan nama-nama calon itu bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang ditandingi, paling kurang tiga orang.

"Sementara negeri pula dalam proses pilih calon akan ambil pandangan kawasan, dan kawasan ambil pandangan daripada cawangan," katanya.

Proses itu bermula dari bawah, namun tidak semestinya orang yang tiada nama di kawasan tidak menjadi calon kerana tapisan akhir akan dibuat Pas pusat, jelas Mustafa.

"Ada berlaku keadaan di mana seseorang itu bukan memegang jawatan di cawangan tersebut, tetapi Pas pusat buat keputusan orang tertentu dicalonkan mewakili Pas bukan sahaja kerana pencalonan tetapi ada faktor lain,” katanya.