Tuesday, January 10, 2012

Hasan tidak masuk pejabat, nyata hasrat ambil cuti


SHAH ALAM 9 Jan. - Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr. Hasan Ali difahamkan akan mengambil cuti panjang susulan pemecatan beliau daripada Pas semalam.

Menurut Pembantu Khasnya, Alhafiz Abdul Wahab, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor telah memaklumkan kepadanya semalam mengenai hasrat untuk mengambil cuti.

Namun katanya, tempat dan tempoh bercuti itu masih belum dinyatakan secara rasmi oleh Hasan buat masa ini.

Beliau menyatakan Hasan juga tidak memasuki pejabatnya di Tingkat 2, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Hasan semalam beliau mahu bercuti tetapi buat masa ini, saya tidak terima lagi maklumat di mana dan berapa lama beliau akan bercuti.

Hari ini beliau juga tidak masuk pejabat. Saya difahamkan kemungkinan berada di kediamannya atau di tempat lain dan menjalankan tugasnya sebagai Exco dan wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan Hasan masih lagi menjalankan tugasnya sebagai Exco kerajaan negeri.

Semalam, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil tindakan memecat keahlian Hasan daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tindakan ke atas Hasan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) setelah kepimpinan parti itu meneliti tindakan Hasan yang sebelum ini didapati menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Pas.

Pada masa sama, tindakan Pas ke atas Hasan itu dijangka memberi kesan kepada perubahan jawatan Exco kerajaan negeri yang disandang oleh Hasan ketika ini yang mana beliau berkemungkinan akan digugurkan daripada jawatan tersebut.

Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila beliau bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.

Ekoran tindakan tersebut, Hasan menerima kecaman daripada pihak-pihak tertentu, khususnya pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasan turut menjadi tumpuan apabila beliau mempertikaikan perubahan perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan sehinggakan beliau menjadi sasaran pemimpin tertinggi Pas yang menuduhnya diperalatkan oleh UMNO.

Pada 7 Januari lalu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut mendesak Pas bertanggungjawab terhadap kenyataan Hasan yang menyeru agar rakyat tidak menyertai perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’ yang diadakan pada hari ini.

Azmin turut menuntut agar Pas meneliti tindakan sewajarnya terhadap Hasan yang dilabelkannya sebagai melampau dan keterlaluan kerana Hasan menyatakan perhimpunan itu tidak wajar kerana mengheret rakyat semata-mata mempertahankan isu peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment