Sunday, January 22, 2012

'Dua tol membebankan kami'



HULU LANGAT 21 Jan.- Penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras dan Bandar Sungai Long merayu Kerajaan Persekutuan segera memansuh dan menutup plaza tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang yang membebankan rakyat.
Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, permintaan mengenai lebuh raya yang mempunyai dua tol dalam jarak hanya tiga kilometer antara satu sama lain iaitu di Batu 9 dan Batu 11 itu telah dibuat sejak tiga tahun lepas.
Katanya, beliau telah menyuarakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa satu majlis berbuka puasa di Dataran Usahawan, Batu 14, 21 Ogos lalu dan Najib telah berjanji akan meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor mengkajinya.
"Difahamkan perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dengan syarikat konsesi, Grand Saga Sdn. Bhd. berlangsung sekitar bulan September dan Oktober tahun lepas dan khabarnya berita positif telah diperoleh.
"Saya berharap Perdana Menteri dapat turun ke Hulu Langat sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor yang akan dianjurkan MCA di Sungai Chua 31 Januari ini serta membawa perkhabaran baik itu sebagai angpau untuk perayaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan perhimpunan mengenai perkara tersebut di Bandar Sungai Long di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua MCA Bahagian Hulu Langat, Jeffrey Lee Ban Seng; dan Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), M Sambanthan.
Johan berkata, lebuh raya tersebut yang digunakan puluhan ribu kenderaan setiap hari merupakan satu-satunya jalan utama bagi penduduk di sekitar kawasan tersebut, malah turut digunakan oleh mereka yang tinggal di Kajang dan Negeri Sembilan.
"Setahu saya, konsesi bagi lebuh raya ini akan tamat dalam masa tiga tahun lagi. Jadi tidak salah jika ia dipercepatkan dan dimansuhkan sekarang.
"Syarikat konsesi pasti tidak akan rugi kerana saya percaya kerajaan tidak akan mengarahkan tol ditutup tanpa memberi pampasan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment