Sunday, February 26, 2012

Anwar gesa kerajaan, Australia dengar suara anti-Lynas

Anwar gesa kerajaan, Australia dengar suara anti-Lynas - Nasional - Sinar Harian:
lynas_himpun
KUANTAN - Pakatan Rakyat (PR) kecewa dengan sikap kerajaan kerana lebih mementingkan soal keuntungan semata-mata apabila membenarkan projek memproses nadir bumi RM700 juta beroperasi di Gebeng dekat sini.
Meluahkan pendirian itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengutamakan masa depan penduduk, bukannya hasil yang akan diperoleh daripada operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd.
Sehubungan itu kata beliau, projek ini akan dihentikan serta-merta sekiranya PR berjaya mengambil alih Putrajaya.
“Cukuplah cakap pasal duit, duit, duit. Sepatutnya kerajaan perlu memikirkan kesan akibat daripada kesan kemusnahan bukan sahaja kepada alam sekitar malah manusia, terutama generasi akan datang.
“Adakah kita mahu anak cucu kita mewarisi kesengsaraan ini? Jika tidak mahu, bantu saya untuk menghentikannya, dengan syarat, kita tawan Putrajaya,” katanya kepada 10,000 penyokong Himpunan Hijau 2.0 di padang MPK4, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Kuantan dan Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan dua lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, rakyat membantah kerana tidak diberi peluang untuk menyatakan suara mereka kepada kerajaan mengenai perkara ini.
Justeru, katanya, beliau akan menyampaikan mesej bantahan ini kepada kerajaan Australia dan mendesak mereka menarik balik projek Lynas.
“Saya tidak mahu orang luar korbankan rakyat di negara ini, jadi Lynas perlu ditutup. Saya akan sampaikan dan mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini.
“Bukan itu sahaja, 12 Mac nanti, saya bersama-sama pemimpin Pas dan DAP akan mengemukakan usul tergempar supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) membatalkan projek ini. Mereka jangan main-main dengan suara bantahan ini,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan juga telah menutup pintu rundingan apabila tidak mengendahkan pandangan Fuziah mengenai projek ini.
Justeru, untuk memastikan Lynas mendapat sokongan rakyat, beliau berkata, apa pihak telah memainkan isu perkauman dan meletakkan label kaum kepada mereka yang menyokong terhadap bantahan Lynas.
“Kita bantah Lynas bukan bererti kita sokong Cina sahaja. Kita berbuat demikian kerana ia adalah isu semua bangsa dan negara. Jangan cuba lagakan bangsa dengan isu itu.
“Ini kerana yang membantah bukan Cina sahaja, malah semua bangsa. Dalam al-Quran ada menyebut mengenai tanggungjawab manusia supaya menjaga alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, mereka yang tidak menghormati alam sekitar bererti menghina al-Quran.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment