Sunday, February 26, 2012

Hari gembira bertukar tragedi

Hari gembira bertukar tragedi - Semasa - Sinar Harian:
Kemalangan
KULAIJAYA – Hasrat seorang pekerja buruh binaan untuk mengambil wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, semalam berhampiran lampu isyarat di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru-Air Hitam membabitkan enam kenderaan termasuk empat kereta, satu lori dan sebuah jentolak.
Ketika kejadian, mangsa, Rahmat Manal, 45, dikatakan sedang dalam perjalanan bersama isterinya dari kediaman mereka di Taman Dawani, Senai untuk ke Dewan Raya Kulai bagi menuntut BR1M berjumlah RM500.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori yang dipandu lelaki berusia 41 tahun gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu mangsa.
“Pelanggaran itu kemudiannya menyebabkan lori dan kenderaan mangsa terbabas ke hadapan dan melanggar empat kenderaan termasuk jentolak yang berada di hadapan.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya patah pada bahagian jari kaki namun keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Zulkefly berkata, pemandu lori berkenaan turut mengalami kecederaan ringan dan telah ditangkap manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pemandu jentolak yang hanya ingin dikenali sebagai Zul berkata, lori yang melanggar kenderaan mangsa dipandu dalam keadaan laju dan turut memintas beberapa kenderaan lain sebelum kejadian berlaku.
“Ketika itu kami sedang berhenti di laluan kiri ketika lampu isyarat merah, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah belakang dalam keadaan laju dan terus merempuh kenderaan mangsa yang berada di belakang jentolak saya.
“Kejadian ini menyebabkan tayar jentolak pecah pada bahagian kanan hadapan dan mengalami kerosakan akibat hentaman yang terlalu kuat.
“Malah pelanggaran berkenaan turut menyebabkan lori berkenaan ternaik di atas kenderaan mangsa dan terpaksa ditarik menggunakan kren untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Katanya, beliau bersama beberapa penduduk yang berada di kawasan sekitar turut membantu mengeluarkan isteri mangsa yang masih hidup sebelum dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, majikan mangsa yang ingin dikenali sebagai Roslan berkata, mangsa meminta kebenaran cuti daripadanya untuk mengambil wang BR1M dan pulang ke kampungnya di Pontian.
“Dia telah bekerja selama dua tahun bersama saya dan setahu saya dia merupakan seorang pemandu yang cermat dan tidak gemar memandu laju.
“Kemalangan yang menimpa Rahmat amat mengejutkan saya, tambahan pula kami baru sahaja bertemu dua hari lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang pelik,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment