Sunday, February 26, 2012

NFC terkejut cadangan tuduhan pecah amanah

Berita Harian Online | NFC terkejut cadangan tuduhan pecah amanah: KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation (NFC) hari ini melahirkan rasa terkejut dengan cadangan polis supaya pengerusinya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail didakwa atas tuduhan pecah amanah (CBT), menegaskan kenyataan itu diberikan terlalu awal sedangkan siasatan masih dijalankan.

"NFC terkejut dan bingung bahawa pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Bukit Aman, Syed Ismail Syed Azizan mengeluarkan kenyataan itu terlalu awal sedangkan beliau sendiri mengakui siasatan masih berjalan dan dengan itu masih belum siap," menurut syarikat itu dalam kenyataan yang disediakan oleh firma
perunding perhubungan awamnya.

Menurut kenyataan itu, syarikat sedang meneliti dakwaan polis itu atas
nasihat peguamnya Shafee Abdullah.

Dalam kenyataan itu, NFC mempersoalkan sikap tidak berhati-hati dan motif di
sebalik kenyataan itu, menyatakan ia dilihat seolah-olah satu cubaan secara tidak adil untuk mendahului keputusan yang bakal dibuat Peguam Negara berhubung
perkara itu.

Semalam, Syed Ismail berkata, polis mencadangkan supaya Mohamed Salleh, suami
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil didakwa bagi pertuduhan pecah amanah.

Beliau berkata, cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang
disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lalu bagi
menyiasat beberapa perkara lain.

"Kertas siasatan ini akan dikembalikan ke pejabat AG (Peguam Negara) dalam
masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Isu NFC, yang diterajui Mohamed Salleh sebagai pengerusi eksekutif mula
mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu menjadi panas apabila pembangkang mendakwa wujud penyelewengan
terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan
meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara
terhadap daging import. - BERNAMA

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment