Monday, February 20, 2012

Botak kepala bantah Lynas

Botak kepala bantah Lynas
KUANTAN - Seramai 17 orang membotakkan kepala mereka di Pasar Besar, di sini, semalam, sebagai simbolik bantahan terhadap loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plants (LAMP) di Gebeng.

Aktiviti bermula seawal jam 8 pagi itu tetap berlangsung dengan lancar walaupun hujan dan turut disertai seorang budak lelaki berusia 2 tahun.

Seorang penuntut, Wee Ben Sen, 25, yang pada mulanya hanya hadir untuk menyokong usaha berkenaan, turut tidak ketinggalan menyahut cabaran membotakkan kepalanya.

“Saya tahu mengenai aktiviti ini. Namun saya bukan hendak membotakkan kepala, sebaliknya hanya datang untuk memberikan sokongan.

“Namun saya mengubah fikiran dan akhirnya turut sekali serta bersemangat bersama mereka apabila melihat orang lain membotakkan kepala,” katanya.

Dua beranak, Chow Kok Chin, 62 dan anaknya, Chow Soon Hing, 38, turut menawarkan diri menyertai aktiviti tersebut.

Menurut mereka, pengalaman hidup berhampiran loji nadir bumi di Bukit Merah, Perak mempengaruhi hasrat untuk turut serta.

“Saya datang bersama anak (Soon Hing) hari ini (semalam) sebagai tanda sokongan dan peringatan jika generasi sekarang tidak berjaya menghalang Lynas, usaha ini akan diteruskan generasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack berkata, kumpulan itu akan meneruskan usaha menerusi pendekatan lebih drastik termasuk mogok lapar sebagai tanda bantahan terhadap kebenaran lesen operasi sementara diterima Lynas, baru-baru ini.

“Kelulusan ini tidak wajar membuatkan orang ramai kecewa dan cukup muak dengan apa yang sudah berlaku.

“Mereka tampil pada hari ini untuk menunjukkan tanda ketidakpuasan hati, selain memberikan inspirasi kepada orang ramai supaya membuat pilihan tepat,” katanya.

Botak kepala bantah Lynas - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment