Shahrizat Abdul Jalil

SHAH ALAM – Demi kepentingan Barisan Nasional (BN), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil wajar mengosongkan jawatannya dalam Kabinet, dan memberi tumpuan ke atas usaha memerangi serangan Pakatan Rakyat (PR) terhadap keluarganya berhubung kontroversi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, walaupun saranan itu merupakan satu pengorbanan di sebelah pihak, tetapi langkah tersebut satu langkah bijak untuk menyelamatkan BN daripada serangan melulu pihak pembangkang.

“BN mesti dibebaskan dari implikasi yang tidak diingini kerana beban yang timbul dari NFC hanya akan menjejaskan imej BN.

“Bagaimanapun, beliau (Sharizat) boleh kembali ke Kabinet selepas episod ini dan namanya dibersihkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shahrizat baru kembali meneruskan tugas dan tanggungawabnya sebagai menteri selepas tiga minggu bercuti.

Sebelum ini, ada beberapa pemimpin Umno menggesa beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung isu NFC.

Malah dalam kenyataannya semalam, Shahrizat berkata: "Saya telah katakan bahawa saya bukan sebahagiannya."

Isu mengenai NFC, yang diterajui suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebagai Pengerusi Eksekutif NFCorp, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dikeluarkan Oktober lalu, menyatakan bahawa NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Dalam kenyataannya, Ko Youn menambah, ketika ini kempen ‘fitnah’ yang dilancarkan oleh PR dilihat bersifat tidak adil dan kejam.

Beliau turut bersetuju bahawa Shahrizat bukan sebahagian daripada NFC dan yakin bahawa beliau tidak bersalah sehingga terbukti melakukan kesalahan.

Beliau berkata, adalah juga bercanggah dengan lumrah keadilan untuk mengutuk seseorang atas dasar tuduhan dengan bukti yang tidak berasas.

“Namun begitu, saya berharap, ahli keluarga beliau (Shahrizat) tampil memberikan penjelasan di pihak mereka untuk menghilangkan sebarang keraguan yang ditimbulkan dengan menyertakan semua salinan dokumen yang dapat menyokong pembelaan.