SHAH ALAM – Khalid Abdul Samad menggesa bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya mendedahkan premis yang didakwa menjadi ‘sarang maksiat’ di bandar raya Shah Alam jika benar dakwaan beliau.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor berkata, kenyataan Hasan yang mendakwa Shah Alam sebagai kota maksiat tanpa menyebut perincian premis terlibat itu menggambarkan seolah-olah tempat seperti rumah urut, pusat refleksologi dan hotel di sini, semuanya bermasalah.

“Hasan sepatutnya dedahkan di mana tempat itu. Bukan main tembak dan cakap saja,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini pada sidang media, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas itu juga memberi gambaran seolah-olah pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Sebenarnya, beliau mahu tempelak saya, tetapi kenyataannya itu seperti turut mengheret sama Datuk Bandar Shah Alam (Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan), pihak penguatkuasaan dan perlesenan.

“Jika saya ada kuasa, saya akan halang, tetapi saya bukan di bawah pentadbiran MBSA,” katanya.

Khalid berkata, MBSA hampir setiap minggu menjalankan operasi di hotel dan pusat refleksologi.

“Jika benar dakwaan Hasan, sudah tentu premis terlibat akan ditutup.