Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rizab perbendaharaan negeri Selangor pada akhir 2011 meningkat kepada lebih RM1.9 bilion berbanding kurang RM500 juta pada 2007.

Beliau bagaimanapun berkata laporan perbendaharaan negeri termasuk rizabnya masih belum diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Negeri di sini hari ini, beliau juga menyatakan mesyuarat itu turut membincangkan peruntukan bagi membantu beberapa penghuni Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, yang bumbung rumah mereka rosak teruk diterbangkan ribut petang semalam.

Kerajaan negeri akan menghantar jurunilai bagi mentaksirkan jumlah kerosakan, kata beliau.

Abdul Khalid turut ditanya tentang perkembangan berhubung penahanan seorang lelaki, dikatakan bekas teman Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Elizabeth Wong, oleh pihak berkuasa Indonesia Jumaat lepas.

Menteri Besar berkata, maklumat yang diperolehi kerajaan negeri ialah berdasarkan laporan akhbar dan portal berita.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Jabatan Imigresen Batam semalam mengesahkan ia menahan lelaki warganegara Malaysia itu kerana disyaki memiliki dokumen perjalanan palsu.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Azmin Helmi, 37, ditahan untuk siasatan selama tujuh hari, lapor akhbar itu.

Dia dikehendaki oleh polis Malaysia bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel wanita di Internet pada 2009. - Bernama