Sunday, February 12, 2012

Obama belanja besar


WASHINGTON 11 Feb. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) membelanjakan sebanyak AS$143,862 (RM435,614) hanya untuk mesej pesanan ringkas (SMS) sempena kempen pemilihan semula sebagai Presiden sepanjang tahun lalu.

Jumlah perbelanjaan kempen Obama dan Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat (DNC) juga dilaporkan dua kali ganda lebih besar daripada jumlah perbelanjaan semua calon-calon Republikan pada 2011.

Ia adalah sebahagian daripada peningkatan usaha Presiden itu untuk mendapatkan sokongan dan mula membina infrastruktur besar supaya beliau dipilih semula menjadi Presiden.

Perbelanjaan itu termasuklah kempen melalui Internet sebanyak AS$5.2 juta (RM16 juta), telefon sebanyak AS$9.5 juta (RM29 juta), penjualan barangan curi di dalam talian sebanyak AS$2.5 juta (RM7.6 juta) dan AS$1.3 juta (RM4 juta) lagi untuk yuran kad kredit bagi pendermaan.

Obama yang meningkatkan dana untuk kempennya dan DNC, telah membelanjakan lebih AS$120 juta (RM363 juta) sejak kempen Presiden dilancarkan dengan separuh daripadanya digunakan oleh parti.

Mitt Romney, calon Presiden Parti Republikan hanya membelanjakan AS$37 juta (RM112 juta) manakala Jawatan Kuasa Republikan membelanjakan AS$68 juta (RM206 juta), kebanyakannya untuk membayar hutang.

Peningkatan perbelanjaan itu ekoran pertambahan pembayaran gaji daripada AS$2.2 juta (RM6.7 juta) pada suku kedua kepada AS$7 juta (RM21 juta) pada suku keempat 2011.

Jurucakap kempen Obama, Ben LaBolt berkata, kempen difokuskan untuk mewujudkan perhubungan dengan penyokong sedia ada di seluruh negara.

"Walaupun Republikan masih belum melancarkan kempen sebenar mereka dan gagal membina satu pertubuhan di negeri-negeri utama, kami telah membuat pelaburan untuk berkempen di peringkat akar umbi di seluruh negara," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment