Sunday, February 12, 2012

Zaid: Saya silap rebut jawatan No 2 PKR

G MANIMARAN
11 Februari 2012

PETALING JAYA - Datuk Zaid Ibrahim mengakui beliau telah melakukan kesilapan apabila turun gelanggang pemilihan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada akhir 2010, kerusi yang turut disaingi oleh Azmin Ali.

Bagaimanapun, beliau yang kini mengetuai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) berkata, beliau tidak menyesal atau merasakan satu kesilapan apabila memutuskan untuk PKR ketika itu.

"Keluar PKR bukan silap, tapi silap lawan (Azmin). Bila silap lawan, maka saya rasa lebih baik menubuhkan satu parti sendiri yang mempunyai nilai-nilai politik. Saya tidak rasakan saya seorang yang hanya idealis dan tidak praktikal," kata beliau dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas ahli Umno, merupakan antara calon yang merebut kerusi nombor dua PKR pada pemilihan yang diadakan akhir tahun 2010, di bawah sistem pemilihan secara langsung melibatkan setiap ahli.

Dengan mendakwa wujud kepincangan dalam proses pemilihan, Zaid menarik diri dari persaingan dan kemudian meninggalkan PKR.

Dalam temu bual kali ini, Zaid juga berkata, beliau tiada masalah dengan Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai PKR.

"Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun saya tiada masalah, saya cuma mempertikaikan cara pemilihan dalam PKR.

"Saya kata saya tidak boleh terima cara ia dilakukan, tetapi dalam hal itu pun saya ada melakukan kesilapan," kata Zaid sambil menambah, beliau bertanding dengan Azmin dalam PKR dan bila imbas kembali "saya pun silap."
Ketika itu Azmin merupakan salah seorang naib presiden.

Kata Zaid, beliau terbawa-bawa dengan sokongan yang ada pada masa itu.

"Saya mendapat sokongan yang baik pada masa itu dan saya fikir saya mampu untuk membantu Anwar dengan sokongan yang saya ada ketika itu. Tetapi bila fikir kembali, Anwar ketika itu dalam kesusahan dengan kesnya dan sudah tentu munasabah untuk dia lebih mempercayai Azmin kerana dia dalam kesusahan, silap saya kerana melawan Azmin ketika itu, tetapi saya tidak berkelahi dengan Azmin mahupun Anwar dan saya rasa lebih baik saya mengundur diri dan menubuhkan parti ini," katanya dengan merujuk kepada kes liwat dihadapi oleh Ketua Umum PR.

Anwar dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu.

Zaid: Saya silap rebut jawatan No 2 PKR - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment