Saturday, April 7, 2012

Nik Aziz dibenar keluar hospital

nik aziz 16mac
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dibenarkan keluar  Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Jantung (CCU) sejak Khamis lalu.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Mursyidul Am Pas  berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang jam 10 pagi tadi.

“Alhamdulillah, kesihatan beliau semakin baik dan telah dibenarkan pulang, cuma beliau sedikit keletihan serta memerlukan banyak rehat.

“Saya juga bersyukur dengan keadaan beliau dan berharap Mursyidul Am Pas  dapat meneruskan khidmatnya kepada Islam dan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Nik Aziz, 81, mengadu sakit dada selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim dan dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Pada Ogos 2010, Nik Abdul Aziz turut mendapatkan rawatan di hospital sama kerana saluran jantungnya tersumbat.

Sementara itu, pada 8 Disember lalu Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke hospital lebih  lima hari kerana masalah tulang belakang dan kemudiannya turut dimasukkan di hospital yang sama, pada bulan sama, selepas mengadu mengalami keletihan.

Walaupun keadaan kesihatan tidak memuaskan sehingga mendapat tekanan pelbagai pihak, Nik Abdul Aziz mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

No comments:

Post a Comment