Tabah jaga empat OKU
SUNGAI JELUTONG - Ketabahan seorang wanita yang terpaksa menjaga dua adik, seorang anak lelaki dan kakaknya perlu dipuji kerana dia bukan sahaja perlu memikul beban kewangan malah, perlu bersabar menjaga kesemuanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Hapizah Sudin, 50, berkata, adik-adiknya, Abu Hanifah, 41; Nur Hamidah, 40, anaknya, Mohd Shahrul Samsuri, 12, dan kakak, Maimun Samsudin, 54, mengalami masalah genetik kategori akal sejak dilahirkan.

“Saya bukan sengaja mahu menagih simpati tetapi kepayahan hidup memaksa saya meminta pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat meringankan beban menyara kehidupan kami.

“Mereka tidak dapat menguruskan diri terutama adik lelaki, Abu Hanifah yang begitu agresif. Sebelum ini, dia tidak suka memakai baju dan sering bertelanjang, tetapi kini ada sedikit perubahan kerana mengambil ubat,” katanya.

Bagaimanapun, menurut ibu dua anak ini, dia bersyukur kerana kedua-dua adik dan anaknya mendapat bantuan bulanan JKM masing-masing sebanyak RM150.

"Anak saya juga kini dimasukkan ke Sekolah Kebangsaan Padang Lebar melalui Program Pemulihan Khas (PPK). Saya sentiasa memberi sokongan kepada anak saya, meskipun menyedari kekurangan pada dirinya tetapi saya tidak membezakannya dia dengan kakaknya. Apabila dia bersekolah, sekurang-kurangnya dia boleh berdikari dan bergaul dengan masyarakat,” katanya yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan JKM.

Sementara itu katanya, dia menerima takdir yang ditentukan ALLAH SWT dan menghadapinya dengan penuh sabar.

“Sebagai adik dan ibu, saya bertanggungjawab membesarkan mereka sehingga akhir hayat saya. Selepas masyarakat mengetahui kisah hidup saya, ramai yang sudi menghulur bantuan seperti memberi barang dapur. Hanya ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.

Sementara itu, beberapa ahli Skuad Sayang, doktor serta jururawat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail menziarah keluarga berkenaan, selain melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mereka.

Difahamkan, Program Kem Kesihatan dan Doktor Masuk Kampung anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebagai pendekatan terbaru mendekati pesakit di kawasan kampung.