Scomi berjaya uji tren empat koc di Mumbai
MUMBAI - Scomi Engineering Bhd berjaya menguji tren empat koc pada kelajuan 80km, kejayaan yang belum pernah dilakukan sebelum ini menggunakan koc monorel.

"Ia merupakan saat yang membanggakan kami memandangkan koc-koc ini dibina dan diuji di Malaysia, dibuka dan dihantar ke Mumbai dan dipasang semula," kata Presiden Negara Scomi Engineering dan Presiden Scomi International Pvt Ltd, Kanesan Velupillai.

Kanesan berkata ujian pada kelajuan itu, yang merupakan prasyarat pelanggan, merupakan permulaan fasa pengujian sepenuhnya bagi 9km pertama.

"Ia bukan sahaja mencerminkan keupayaan Scomi sebagai sebuah syarikat, malah kerja berpasukan, memandangkan ia dilakukan bukan sahaja dengan sistem kereta bersepadu malah bersama sistem komunikasi, isyarat, serta sistem elektrik dan awam.

"Kami membawa pasukan dari Kuala Lumpur untuk menyertai pasukan di Mumbai untuk fasa pengujian dan permulaan ini.

"Seramai kira-kira 30 orang bekerja dalam fasa ini sahaja," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tren itu merupakan versi terbaharu oleh SUTRA (Aplikasi Rel Transit Bandar Scomi) yang merupakan teknologi canggih monorel.

"Sistem pengurusan kenderaan lebih bersepadu dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dan jaminan yang lebih baik selain keupayaan untuk membawa lebih banyak penumpang.

"Kami menampung 142 penumpang berbanding 113 sebelum ini," katanya.

Bahagian koc mematuhi standard terkini dunia dan dibangunkan untuk tahan lebih lama, katanya.

"Keadaan di India lebih berhabuk, bulan-bulan yang sejuk dan musim monsun. Semua perkara ini diambil kira sebelum koc dibangunkan," katanya.

Kanesan berkata Scomi dijangka memuktamadkan fasa pengujian itu dan menyerahkan projek kepada pelanggan, kerajaan negeri Maharashtra, pada Julai, memandangkan mereka merancang memulakan operasi 9km pertama menjelang September tahun ini.

Beliau berkata Scomi juga akan membekalkan kesemua 15 kos untuk projek monorel Mumbai kepada kerajaan tahun ini.

Untuk masa hadapan, beliau berkata syarikat itu sudah memulakan fasa kedua projek yang melibatkan jarak sejauh 10.5km.

Scomi Engineering dan rakan konsortiumnya, Larsen & Toubro, memperoleh projek Mumbai Monorail bernilai RM1.846 bilion pada November 2008.

Projek sepanjang 19.5-kilometer itu, dengan fasa pertama 9km antara Chembur dan Wadala manakala fasa kedua sejauh 10.5km dari Jacob Circle ke Wadala.

Sistem itu menghubungkan rangkaian bas, sistem metro yang akan datang serta tren antara bandar, yang merupakan tulang belakang Mumbai. - Bernama