Kronologi Muzakarah Pas
Kronologi Muzakarah Pas
KOTA BHARU - "Alhamdulillah." Itu reaksi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat susulan respons Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam yang menyahut kesediaan parti itu untuk mengadakan muzakarah.

Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuan itu memang ditunggu-tunggu dan bentuk perbincangan boleh ditentukan selepas persetujuan itu dibuat.

"Terbukanya pintu hati pemimpin untuk muzakarah itu adalah perkara yang baik, soal skop perbincangan boleh ditentukan kemudian," kata beliau kepada pemberita selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, pagi ini.

Ketika ditanya sikap segelintir ahli Pas yang menolak pertemuan ini, Nik Aziz berkata, beliau tidak kisah dengan pandangan seumpama itu.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa pertemuan itu penting demi menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Semalam, Muhyiddin berkata, Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Walaupun agak terkejut dengan pelawaan Pas itu, beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Nik Abdul Aziz.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya.