Tuesday, June 26, 2012

Apek tidak bersalah

Saiful Apek
Saiful Apek
PETALING JAYA: “Saya bersyukur kerana bebas dan percaya kepada ketelusan undang-undang serta Perlembagaan,” kata pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek di luar Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 43, berkata demikian selepas dia bersama tiga lagi rakannya dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menggunakan dadah, dua tahun lalu.

Dia turut menyuarakan rasa terharu terhadap keputusan itu dan dilihat berkali-kali menadah tangan tanda bersyukur.
“Saya berterima kasih kepada peguam Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus yang banyak membantu serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

“Penantian saya selama ini tidak sia-sia selepas dibuktikan tidak bersalah,” katanya.

Keputusan itu dibuat Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal di peringkat akhir pendakwaan bagi membuktikan kes terhadap Saiful Apek bersama Shaiful Baharom, 25; Shah Zainatull Eshan Al Muazam Shah Yahya, 29, serta Noremy Mohamad, 29. Mengikut pertuduhan, Saiful Apek dan tiga rakannya itu didakwa menggunakan ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dengan mengemukakan lima alasan utama penghakiman.
Menurutnya, pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dengan mengemukakan isu berkenaan percanggahan tarikh di label botol sampel air kencing; penyimpanan sampel yang terlalu lama; mempunyai dua borang ujian pengesanan air kencing serta gagal membuktikan elemen kalibrasi dan kawalan kualiti dalam ujian pengesanan. Mahkamah juga mendapati kegagalan pendakwaan mengemukakan botol sampel air kencing yang melonggarkan kes pendakwaan.

“Pendakwaan dengan ini gagal membuktikan kes (prima facie). Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan” katanya.

Sepanjang perbicaraan, lapan saksi pendakwaan dikemukakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kes itu ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment