Tuesday, June 26, 2012

Ulama perlu berani kritik pemimpin

Ulama perlu berani kritik pemimpin
Barisan Panel Wacana Perdana bersama moderator dari personaliti TV Al-Hijrah, Amin Idris (kanan). - FOTO: KHIRU SHALEH ABDULLAH
KOTA BHARU - Ulama di negara ini disaran menghindari sikap berat sebelah ketika mengkritik pemimpin supaya adil kepada rakyat.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, golongan agama itu perlu berani mengkritik pemimpin sekiranya mendapati wujud permasalahan dalam pentadbiran negara.

Malah katanya, ulama tidak wajar mengamalkan sikap menghukum sebelah pihak sahaja tanpa merujuk kebenaran pihak lain.

“Saya nasihatkan kepada semua ulama agar adil kepada semua pihak. Misalnya saya tengok tentang isu fatwa pilihan raya di adakan masa musim haji yang mana kebanyakannya memberi komen tanpa melihat aspek lain iaitu apakah hukum orang yang buat pilihan raya pada musim haji dan di sini kita perlu lihat kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Wacana Perdana bertajuk Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13), Masa Depan Islam di Balai Islam di sini, semalam.

Tiga panel lain yang terlibat, Exco Kerajaan Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan; Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya dan Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Wacana Perdana yang berlangsung kira-kira tiga jam itu agak tegang apabila penonton emosi dan bersorak terhadap Panel Keempat, Dr Ridhuan Tee yang memberi pandangan sinis berhubung isu orang Islam dan Melayu serta parti Umno dan Pas.

No comments:

Post a Comment