Sunday, June 24, 2012

Desak 3 diplomat diusir

Berita Harian Online | Desak 3 diplomat diusir:
Ong Keng Yong
Ong Keng Yong



Pegawai Singapura sertai BERSIH perlu disiasat: PBPM 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengusir keluar tiga diplomat Singapura jika terbukti mereka terbabit dengan perhimpunan BERSIH 3.0, baru-baru ini.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri, berkata mereka juga perlu meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat negara ini kerana membabitkan diri dalam urusan negara jiran.
“Tiga diplomat terbabit jelas tidak menghormati negara ini dan ia tidak wajar dilakukan oleh mereka kerana tindakan berkenaan boleh mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua negara, sekali gus menjejaskan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin. 

“Singapura sepatutnya peka terhadap sensitiviti rakyat dan negara ini serta tidak sesekali campur tangan dalam urusan negara jiran. Apakah perasaan mereka (Singapura) jika negara ini juga melakukan perkara sama terhadap negara itu,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembabitan tiga diplomat Singapura sebagai pemantau pada perhimpunan BERSIH pada 28 April lalu. 
Kelmarin, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra berhubung pembabitan tiga diplomat negara itu. 
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan berkata, beliau memanggil Ong ke pejabatnya untuk menyampaikan rasa tidak senang Kerajaan Malaysia berhubung penyertaan ketiga-tiga diplomat berkenaan. 

Beliau berkata, kementerian sudah menerima laporan pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan pembabitan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan. 

Mengulas mengenai dakwaan Singapura bahawa pihaknya tidak melanggar Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961 dan Undang-Undang Negara berikutan pembabitan tiga diplomatnya dalam perhimpunan BERSIH, Shafie berkata, mereka sepatutnya mendapat kebenaran kerajaan negara ini jika mahu menyertai perhimpunan terbabit. 

“Bagaimanapun, tiga diplomat Singapura itu tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam perhimpunan ini sebagai kakitangan kerajaan. Mereka tidak sepatutnya menggunakan apa juga alasan untuk turut serta pada perhimpunan ini. Mengapa mereka perlu hadir,” katanya. 

Berhubung laporan yang mendakwa bahawa beberapa belia dilatih di Singapura sebagai ejen mengundi dan pengiraan undi bagi pilihan raya umum akan datang di negara ini, beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia perlu bertindak segera untuk mengatasi masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment