Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bertegas akan terus mengaitkan Perkasa Daerah Kota Setar terlibat dalam insiden membaling kasut ke arah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussain Seberang Pumpong, Alor Setar, Ahad lepas.

Menurutnya, walaupun bukti kejadian baling kasut tidak ditunjukkan dalam rakaman video yang dimuat naik di YouTube, namun ramai yang menyaksikan insiden itu.

"Kita bertegas akan ambil tindakan terhadap Perkasa walaupun bukti dalam rakaman tidak tunjuk ada insiden baling kasut itu.

"Kita sudah buat laporan polis dan imam masjid juga telah buat (aduan), kita tunggu laporan dan tindakan polis," katanya.

Kelmarin, Perkasa Daerah Kota Setar meminta Mahfuz supaya berhenti mengaitkan pertubuhan itu dengan insiden membaling kasut ke arah Anwar.

Pengerusinya, Datuk Yusoff Ismail berkata, dakwaan bahawa ahli Perkasa Kota Setar terlibat dalam kejadian itu adalah fitnah semata-mata kerana sehingga kini, Mahfuz tidak pernah memasukkan gambar kasut dan kejadian itu dalam blog atau YouTube.

Katanya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ada menyiarkan rakaman kekecohan di masjid itu tetapi gambar kasut yang didakwa itu tiada dan kerana itu beliau beranggapan ia satu pembohongan di pihak pemimpin Pas itu dan juga Anwar.

"Jadi kita minta Datuk Mahfuz kemukakan bukti (Perkasa Kota Setar terbabit dengan kejadian baling kasut itu) dan berhenti memfitnah kami. Kami belum bercadang ambil tindakan undang-undang tetapi jika ia berterusan, tidak mustahil kami akan berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada Perkasa daerah itu kerana secara terbuka mengaku kejadian tersebut didalangi oleh mereka.

"Apa pun saya ucap terima kasih kerana mereka (Perkasa) mengaku kejadian itu dilakukan oleh mereka.

"Kalau pun mereka dapati Anwar tak bertauliah, janganlah guna cara itu, guna cara yang betul," katanya lagi.