[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR -  Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said dan ahli jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah adalah dua daripada lima individu, yang dipercayai penganjur Himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos lalu, memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, petang ini.
"Kami mengambil masa hampir satu jam berada di dalam (IPD) untuk memberi  keterangan," kata Maria Chin ketika dihubungi sebentar tadi.
Mereka diarah oleh polis untuk tampil memberi keterangan terhadap dua isu iaitu sidang akhbar pada 28 Ogos lalu dan penganjuran Himpunan Janji Demokrasi dua hari kemudian.
"Saya diarah untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit pada jam 6 petang semalam tapi Pak Samad tak dapat hadir kerana ada urusan lain," kata Maria Chin.
Tambah beliau, beliau dan Samad yang turut dikenali sebagai Pak Samad telah menerima notis 111 Kanun Acara Jenayah agar hadir di IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan.
"Ketika perhimpunan berlangsung, Pak Samad hanya membaca puisi, bukannya penganjur perhimpunan tersebut," ujar Maria Chin, yang turut memberitahu bahawa ia dibaca di hadapan kira-kira 10,000 penyokong.
Ketika ditanya tentang bila tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan akan tampil memberi keterangan, beliau berkata tidak tahu tentang perkara tersebut.
Mereka adalah seorang lagi ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Seorang lagi adalah Timbalan Presiden Pas, yang turut dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung penganjuran Himpunan Janji Demokrasi yang diadakan berhampiran Dataran Merdeka.
Dalam kejadian pada 30 Ogos lalu, Himpunan Janji Demokrasi dicemari dengan insiden memijak gambar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak beserta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).