Sri Wani
Sri Wani
SHAH ALAM - "Saya lebih selesa untuk hidup janda daripada kembali kepada suami saya." Ini reaksi usahawan produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, yang menjadi perhatian media selepas jantinanya dipertikaikan oleh suaminya.

Dihubungi Sinar Harian Online semalam, Sri Wani, dirinya kini lebih tenang selepas melalui tekanan hidup yang begitu mendalam sejak dua tahun lalu.

"Saya akan meneruskan hidup saya, akan terus dengan hidup saya, akan tumpu pada perniagaan, bina semula perniagaan," kata Sri Wani yang menjelaskan suaminya telah melafaz talak satu ke atasnya dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, katanya: "Saya perlu teruskan hidup saya. Melainkan kalau ada kasih sayang, saya akan fikir (untuk berkahwin lagi)."

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan suaminya, Profesor Dr Baharom Sanugi.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan Baharom, bekas dekan, termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut menolak permohonan komital dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.

Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Baharom untuk membayar kos kepada plaintif sebanyak RM12,000.

Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.

Baharom, 61, yang mengesyaki Sri Wani  seorang lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu,  seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah. Beliau membuat aduan di Jabatan Agama Gombak dan diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.

Ketika ditanya mengenai perasaanya sebaik sahaja mahkamah memutuskan untuk menolak kesemua empat permohonan suaminya, Sri Wani berkata, "saya gembira, bersyukur kepada ALLAH kerana kes telah selesai."

"Saya harap saya boleh hidup dengan tenang (selepas ini)," katanya lagi sambil menambah, "saya tahu saya di pihak yang benar. Saya tidak pernah hina dia (Baharom). Saya bukan seorang yang jenis simpan dendam."

"(Lagipun) saya tidak buat apa-apa salah," katanya lagi.

Sri Wani mendakwa sepanjang dua tahun lalu beliau berhadapan dengan tekanan hidup selain masalah kewangan, termasuk dalam menguruskan perniagaan.

"Saya harap hidup saya tenang kembali," kata Sri Wani yang mengakui dia gembira kerana "ramai ucap tahniah dan memberi sokongan kepada saya."

"Malah ada yang berdoa untuk saya," katanya.

Ditanya mengenai laporan media bahawa suaminya mahu memfailkan rayuan, Sri Wani berkata, "saya akan tengok dulu."