Sunday, October 14, 2012

110 cedera pertempuran di Kaherah

110 cedera pertempuran di Kaherah:

Penduduk memerhatikan rangka bas yang dibakar dalam satu pertempuran antara penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin. - AFP
KAHERAH 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 110 orang cedera apabila penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi dan penyokong parti pembangkang bertempur di Dataran Tahrir di sini semalam.
Pegawai berkata, kejadian berlaku selepas penyokong pergerakan Ikhwan Muslimin pimpinan Mursi meruntuhkan satu pentas di dataran berkenaan, lokasi parti pembangkang mengadakan perhimpunan bagi mengkritik Presiden Mesir itu.
Pertempuran berlaku ketika kedua-dua kumpulan itu mengadakan perhimpunan berasingan di Dataran Tahrir.
Satu perhimpunan terdiri daripada aktivis berfahaman liberal dan sekular mengkritik kegagalan Mursi mengotakan janjinya dalam tempoh 100 hari sejak memegang jawatan Presiden, manakala satu lagi perhimpunan diadakan oleh Ikhwan Muslimin.
Kementerian Kesihatan melaporkan, sekurang-kurangnya 110 orang cedera apabila kedua-dua kumpulan itu melempar batu dan bom petrol antara satu sama lain.
Penunjuk perasaan turut membakar dua buah bas yang digunakan oleh penyokong Ikhwan Muslimin, kata saksi.
Walaupun pemimpin Ikhwan Muslimin menyatakan mereka akan menghadiri perhimpunan itu, pergerakan tersebut menafikan di laman Twitter bahawa anggota mereka terlibat dalam pertempuran tersebut.
Seorang koresponden AFP berkata, pertempuran tersebut berakhir selepas pergerakan Islam itu berundur dari Dataran Tahrir petang semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_01/110-cedera-pertempuran-di-Kaherah#ixzz29LdnGlvL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment