KUALA LUMPUR - Selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil tindakan saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kini giliran Naib Presiden, Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengambil tindakan sama berhubung tulisan menteri itu dalam akhbar Sinar Harian.

Writ Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, 26 September lalu, ditandatangani Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Siti Fatima Alimuddin melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Assiciates.

Mohamad Sabu selaku plaintif menamakan Dr Mashitah sebagai defenden pertama; Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed sebagai defendan kedua; Sinar Karangkraf Sdn Bhd sebagai defendan ketiga; dan Ultimate Print Sdn Bhd sebagai defendan keempat.

Dalam writ saman itu, beliau mendakwa artikel yang disiarkan dalam Sinar Harian pada 2 Mac 2012, yang ditulis menteri tersebut,  berniat jahat memfitnahnya, sementara  defendan kedua membenarkan kata-kata itu diterbitkan oleh defendan ketiga dan dicetak oleh defendan keempat.

Petikan  artikel tersebut  bertajuk “Skandal seks, krisis politik Pakatan oleh Dr Mashitah Ibrahim ‘....Apapun, kes Badrul Amin mengingatkan kita kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang juga pernah ditangkap khalwat dengan isteri kawannya sendiri di Kota Bharu, kira-kira 12-13 tahun lalu. Ketika itu beliau Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ketika ditangkap, isteri kawannya berada dalam hotel manakala Mohamed Sabu hanya memakai tuala. Beliau dibicarakan di mahkamah Kelantan, tetapi akhirnya dibebaskan,” didakwa menyebabkan plaintif menanggung malu dan aib serta menjatuhkan harga diri, air muka dan maruahnya.

Sementara itu, dalam prosiding pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam, Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan tarikh 23 November depan, untuk pengurusan kali kedua kes itu selain menetapkan  semua defen memfailkan pembelaan pada atau sebelum 30 Oktober ini.